PETALING JAYA – Genap seminggu ditidurkan, pelakon Nad Zainal semakin menunjukkan perkembangan positif dan difahamkan sudah beberapa kali membuka mata.
Biarpun hanya dalam tempoh singkat, kondisi terkini yang ditunjukkan pelakon Dendam Seorang Isteri itu nyata memberi kegembiraan buat semua.
Perkembangan positif Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, dikongsikan penerbit dan juga pengarah Shahrulezad Mohameddin kepada Kosmo! Online.
“Alhamdullilah. Puji bagi Allah atas ehsan dan rahmat-Nya. Keadaan Nad hari ini bertambah baik berbanding semalam.
“Saya dimaklumkan sekali sekala ada juga Nad membuka mata, tetapi kemudian tidur semula.
“Kadar kebergantungan kepada mesin oksigen semakin berkurangan, luka di paru-paru pula semakin pulih dan berfungsi dengan lebih bagus. Cuma doktor tak mahu memaksa sangat.
“Sebahagian dos ubat-ubatan juga sudah mula dikurangkan, malah ada di antaranya diberhentikan melihat keadaan Nad yang semakin stabil,” katanya menerusi kiriman mesej di aplikasi Whatsapp.
Terdahulu ibu kepada dua cahaya mata itu dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri Isnin lalu akibat pendarahan paru-paru dan diintubasi bagi merehatkannya.
Justeru, Shahrulezad memohon orang ramai supaya terus mendoakan pelakon itu supaya dapat kembali pulih selepas keadaannya dilaporkan kritikal.
“Syukur tak terhingga. Terima kasih Allah yang telah mengabulkan doa kita semua.
“Saya harap kita akan terus berdoa. Selain untuk Nad, kita juga perlu mendoakan kesejahteraan mereka yang memerlukan.
“Saya mewakili keluarga dan sahabat Nad dengan rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas doa tulus anda semua,” katanya lagi.- KOSMO! ONLINE