SEREMBAN – Seorang remaja lelaki maut selepas tercampak daripada motosikal yang ditungganginya sebelum jatuh dari jambatan berketinggian 30 meter dalam kemalangan di Jalan Besar Nilai-Pajam di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa yang berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan disahkan maut di lokasi kejadian.
“Kemalangan pada pukul 1.57 pagi itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Honda Wave ditunggang mangsa dengan sebuah Proton Inspira,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Proton Inspira itu dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Nilai menghala ke arah Pajam.
“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan telah masuk ke laluan kereta lalu bertembung menyebabkan mangsa tercampak dan jatuh dari jambatan,” katanya.
Menurut Abdul Malik berkata, mangsa penunggang motosikal yang maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.53 tengah malam.
“Sebaik tiba didapati seorang remaja lelaki menunggang motosikal Honda Waze maut selepas bertembung sebuah kereta Proton Inspira.
“Mangsa seorang lelaki maut selepas tercampak dan terjatuh daripada jambatan berketinggian 30 meter,” katanya. – KOSMO! ONLINE