fbpx

Polis tahan tiga suspek kes samun dan tetak di Pasar Parit Buntar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis memeriksa lokasi lelaki ditetak di Pasar Parit Buntar semalam.

IPOH – Tiga suspek kes samun dan tetak seorang peniaga menggunakan parang dan pedang dalam kejadian di Pasar Parit Buntar semalam berjaya ditangkap polis.

Suspek berusia antara 47 hingga 63 tahun itu diberkas sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian yang sedang melakukan rondaan sekitar pukul 4 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, semasa rondaan dijalankan, pihak polis telah terserempak sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, kereta itu kemudiannya diekori hingga sampai di lokasi kejadian apabila tiga lelaki bersenjatakan parang dan pedang meluru masuk ke dalam kenderaan berkenaan.

“Pihak polis segera menyerbu kereta suspek untuk menahan mereka. Suspek yang terkejut bertindak melibas pedang dan cuba melanggar anggota untuk melarikan diri.

“Dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan kenderaan dinaiki suspek, anggota terpaksa melepaskan tembakan yang membawa kepada tangkapan tiga daripada empat suspek,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, kumpulan suspek itu sebelum kejadian telah merompak dan menetak pemborong dan pembekal sayur berusia 51 tahun hingga lelaki itu cedera parah di pergelangan tangan kanan.

Katanya, suspek turut merampas seutas rantai leher mangsa dengan anggaran kerugian bernilai RM15,000.

“Hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka melakukan rompakan menggunakan kenderaan dan modus operandi sama sebanyak 11 kali.

“Semakan rekod lampau juga mendapati mereka memiliki rekod bersabit kes dadah dan jenayah selain ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine dan morfin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI