DOHA – Pasukan Uruguay terus memasang impian untuk merekodkan kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia 2022 kali ini menjelang aksi kedua bertemu Portugal di Stadium Lusail awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad La Celeste terdesak mengutip tiga mata berharga selepas memulakan saingan Piala Dunia kali ini dengan langkah kiri apabila sekadar seri 0-0 bertemu Korea Selatan minggu lalu.
Ketua Jurulatih Uruguay, Diego Alonso menjangkakan perlawanan yang sukar menentang Portugal nanti, tetapi dalam masa yang sama memberi bayangan bakal menurunkan jentera serangan terbaik pada aksi itu nanti.
“Selepas seri ketika bertemu Korea, memang jelas kami tidak boleh lagi keciciran mata pada dua baki perlawanan seterusnya. Nasib pasukan masih terletak di tangan sendiri dan jika menang esok, mungkin peluang untuk mara cerah,” katanya.
Mengulas lanjut, Alonso percaya barisan pemain yang dimilikinya memiliki bakat setanding dengan pasukan bertaraf bintang seperti Portugal dengan jentera serangan bakal diketuai oleh Darwin Nunez, Luis Suarez dan Edinson Cavani.
“Saya lihat dengan bakat yang kita miliki seperti Nunez, Suarez dan Cavani termasuk pemain muda seperti Facundo Pellistri sudah boleh menggerunkan benteng pertahanan lawan. Cuma, saya harap sentuhan penyudah mereka kali ini lebih tajam kerana kita terdesak perlukan gol.
“Bukan saya mahu berlagak atau sembang kosong sebaliknya itulah yang saya saksikan sepanjang sesi latihan dan diharapkan mereka dapat menterjemahkan sebaik mungkin pada perlawanan sebenar nanti,” katanya. – AGENSI