DOHA – Mohammed Kudus dan Jordan Ayew menjadi nadi utama buat Ghana ketika menundukkan Korea Selatan 3-2 pada aksi kedua Kumpulan H di Stadium Education City sebentar tadi.
Ketika Ayew menjadikan babak pertama sebagai pentas buatnya ‘berdansa’ dengan menjadi pencetus kepada dua gol awal, Kudus pula kembali menyerlahkan potensi dirinya apabila dua kali merobek gawang Korea Selatan termasuk jaringan kemenangan.
Kejayaan ini mengukuhkan status Ghana sebagai pasukan lebih baik memandangkan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ketika aksi persahabatan pada Jun 2014 turut berpihak kepada skuad Black Stars dengan keputusan 4-0.
Paling menarik, ini adalah kali pertama Ghana berjaya menjaringkan dua gol atau lebih secara berturut-turut di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir melakukanya pada edisi 2006.
Walaupun Korea Selatan memulakan babak pertama dengan baik, tempoh 45 minit pertama seakan menjadi pentas pertunjukkan buat Ayew apabila penyerang Crystal Palace itu menjadi pencetus kepada kedua-dua gol Ghana menerusi Mohammed Salisu pada minit ke-24 dan Kudus, minit ke-34.
Aksi bersambung menyaksikan giliran penyerang Taegeuk Warriors, Cho Gue-Sung mencuri perhatian dengan menghasilkan dua gol pantas, bermula pada minit ke-58 dan minit ke-61 sekaligus menjadikan kedudukkan kembali seimbang.
Selang tujuh minit selepas itu, kelekaan pertahanan Korea Selatan mengundang padah apabila Kudus kembali meletakkan Black Stars di depan dengan menyumbangkan gol kedua peribadinya dalam penyertaan di Piala Dunia kali ini.
Menyedari pasukannya hampir memastikan kemenangan, pengendali Ghana, Otto Addo ambil keputusan merehatkan Kudus dan digantikan Alexander Djiku bagi melengkapkan lima pemain di barisan pertahanan sekaligus berjaya menyekat hajat Korea Selatan memburu jaringan penyamaan.
Misi Korea Selatan cipta keajaiban untuk melepasi peringkat kumpulan seakan bertambah sukar apabila dijadualkan menentang Portugal pada aksi terakhir kumpulan, Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE