PORT DICKSON – Tawaran hadiah utama berupa tiga buah kereta sempena Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) menjadi tarikan pengunjung untuk hadir program itu.
Antara kereta untuk dimenangi termasuk Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000, Toyota Corolla Cross Hybrid Electric (RM140,000) dan Perodua Alza 1.5 AV (RM75,500).
Seorang peniaga, Mohd. Firdhaus Md. Harun, 41, berkata, dia mengetahui mengenai program itu melalui akhbar tempatan.
“Tidak salah kalau kita mencuba mana tahu ada rezeki.
“Selain hadiah utama turut ditawarkan tujuh buah motosikal untuk dimenangi. Program ini juga secara tidak langsung memberi pendedahan kepada kita cara menguruskan kewangan,” katanya ketika ditemui di si MSAM di sini semalam.
Pekerja swasta, S. Salvemary, 42, berkata, dia sanggup datang dari Lukut untuk mencuba nasib.
“Harap dapat bawa pulang Perodua Alza kerana saya memang minat,” tambahnya.
Seorang anggota tentera, Faizam Ali, 37, berkata, dia mengambil kesempatan cuti sekolah membawa isteri dan empat anaknya berkunjung ke MSAM.
“Rugilah rasanya kalau tidak mencuba, mana tahu dapat kereta percuma? Anak-anak juga teruja dan inilah antara yang menarik di sini.
“Bagi saya bukanlah berharap sangat tetapi kalau ada rezeki tidak mustahil menang. Tetapi pada saya keseluruhannya banyak manfaat kepada pengunjung yang hadir di sini,” katanya.
MSAM berlangsung selama tujuh hari bermula 24 November hingga Rabu ini turut disertai oleh syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd., Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd.
Sementara itu, Sime Darby Oils Sdn. Bhd. (Sime Darby Oils) turut mempamerkan produk minyak masak terbaharu mereka, minyak masak eco pax dalam saiz tiga kilogram.
Produk yang dimuatkan di dalam pek itu itu akan berada di pasaran tidak lama lagi.