RIYADH – Meminta bantuan kewangan di media sosial merupakan satu kesalahan dan akan didenda sebanyak 50,000 riyal (RM59,575) atau penjara sehingga enam bulan di Arab Saudi, lapor laman berita Gulf News semalam.
Menurut seorang peguam, Sara Al Harbi kepada stesen televisyen Al Ekhbariya di Arab Saudi, meminta bantuan dengan menggunakan pendekatan itu dikenali sebagai ‘pengemis elektronik’.
Beliau berkata, perbuatan seperti itu boleh dianggap mengemis.
“Pengemis dan orang yang menolongnya berdepan hukuman penjara enam bulan atau denda 50,000 riyal. Denda dua kali ganda jika mengulangi perbuatan itu,” tambahnya.
Pesalah asing berdepan pengusiran selepas menjalani hukuman dan dilarang memasuki Arab Saudi pada masa hadapan.
Pada tahun lepas, negara monarki itu melancarkan platform tajaan kerajaan Ihsan (Amal) yang membolehkan bakal dermawan-dermawan membuat derma melalui aplikasi telefon pintar dan memilih kategori bantuan pilihan mereka. – Agensi