KUALA TERENGGANU – Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya, Kosmo! dan Utusan Malaysia cemerlang menggondol tiga anugerah utama pada majlis Apresiasi Media Terengganu malam tadi.
Wakil Negeri Kosmo! Biro Terengganu, Mohd. Azli Adlan dinobatkan pemenang utama kategori Berita Terbaik Media Cetak menerusi laporan Misi Vaksinasi Warga Pulau.
Rencana disiarkan pada 24 Ogos tahun lalu tersebut memaparkan cabaran kerajaan negeri Terengganu memastikan imuniti kelompok dalam kalangan 5,000 warga rangkaian pulau peranginan sebagai inisiatif menyegerakan pembukaan semula sektor pelancongan yang ditutup ekoran pandemik Covid-19.
Jurugambar Kosmo!, Puqtra Hairry Rosli pula meraih dua anugerah masing-masing bagi kategori Foto Terbaik Media Digital dan Foto Terbaik Media Cetak.
Beliau meraih tempat pertama untuk kategori Foto Terbaik Media Digital menerusi karya Rindu Solat Jumaat yang disiarkan pada 2 Julai 2021.
Karya Wau Naga yang disiarkan pada 28 Mac lalu pula melayakkan Puqtra Hairry memenangi tempat kedua kategori Foto Terbaik Media Cetak.
Kedua-dua petugas Kosmo! terbabit masing-masing membawa pulang ganjaran wang tunai RM3,000 bagi kemenangan tempat pertama manakala RM2,000 di tempat kedua di samping plak dan sijil penghargaan.
Hadiah anugerah anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPDI) tersebut disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali. – KOSMO! ONLINE