fbpx

Ketepikan ideologi dan sentimen politik – Pemangku Raja Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Hassanal bertitah pada istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, hari ini.

PEKAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua parti khususnya yang membentuk kerajaan baharu negeri dapat mengenepikan ideologi dan sentimen politik.

Baginda bertitah sebaliknya kerajaan baharu gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukup-cukuplah.

“Pilihan raya telah tamat kerajaan negeri telah dibentuk sekarang, masa untuk bekerja,” titah baginda pada istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Dalam pada itu baginda mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu bangsa dan agama apatah lagi dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Justeru baginda mengingatkan semua wakil rakyat agar berpegang teguh dan menghayati lima prinsip rukun negara serta mengingati susah payah pejuang dan pemimpin terdahulu membina negara dan negeri.

“Jangan kerana ideologi dan kepentingan politik, kita gadaikan pembangunan dan kemajuan yang telah mula, kita rasa.

“Sudah 65 tahun merdeka kita seharusnya mula berlari laju, bukan lagi merangkak, mencari rentak, jangan kerana, politik yang tidak matang, kita semua ke belakang,” titah baginda.

Sementera itu Tengku Hassanal bertitah agar semua wakil rakyat yang dipilih hendaklah membetulkan niat dan jangan menjadi wakil rakyat untuk mencipta kekayaan diri dan untuk dihormati sedangkan amanah diberi dikhianati.

Baginda bertitah agar semua wakil rakyat rajin bekerja, turun ke kawasan dan kampung, sentiasa melihat apa yang perlu dijaga.

Baginda juga tidak mahu segala proses birokrasi bertimbun-timbun sehingga rakyat sukar menemui wakil rakyat mereka.

“Menjadi wakil rakyat, bukanlah gah pada gelaran yang berhormat, tetapi harus diingat anda menjadi wakil untuk membawa dan menyelesaikan masalah setempat.

“Ingat, saya sendiri akan sentiasa membuat ‘spot check’ dan turun ke lapangan bertemu dengan rakyat di luar sana.

“Janganlah pula, kerana tahu saya turun, baru hendak tunjuk muka, saya tahu, mana yang bekerja dan mana yang tidak bekerja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI