ISKANDAR PUTERI – Kelab gergasi Eropah, Borussia Dortmund memberi pengajaran berguna buat jaguh bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menang 4-1 pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Biarpun turun tanpa pemain utama yang menyertai Piala Dunia di Qatar dan dibarisi pemain muda, kelab Jerman itu tetap berdaya mempamer aksi terbaik berdepan pemenang Piala Malaysia 2022 itu.
Hasilnya, Dortmund berjaya menjaringkan gol ketika permainan baru berusia 10 minit hasil jaringan Goktan Gurpuz untuk meletakkan pasukan di hadapan.
Pada aksi persahabatan jelajah Asia itu menyaksikan skuad kendalian Edin Terzic menambah gol menerusi jaringan Malen yang menyempurnakan bola umpanan Jayden Braaf pada minit ke-24.
Benteng ampuh Dortmund itu akhirnya roboh juga berpunca daripada gerakan Arif Aiman Hanapi yang merampas hantaran dilakukan Soumaila Coulibaly lalu membuat larian ke dalam kotak sebelum melepaskan rembatan ke arah penjuru kiri gawang menewaskan Alexander Meyer pada hujung babak pertama.
Dortmund melebarkan jurang gol bagi memisahkan kedua-dua pasukan hasil jaringan Oleh Pohlmann yang melepasi kawalan pertahanan sebelum melakukan sepakan lambung melewati Farizal pada minit ke-60.
Ketika skuad Harimau Selatan rancak mengatur gerakan, kelab Jerman itu membuat serangan balas dan memperoleh gol hasil jaringan Samuel Bamba yang menggelecek melepasi Feroz Baharudin sebelum melepaskan rembatan deras meletakkan pasukan pelawat selesa di hadapan.
Moussa Sidibe yang dibawa masuk pada hujung babak kedua memberi suntikan tonik buat pasukan Bidoglio dengan melakukan larian di sayap kanan bagi mengkucar-kacirkan benteng lawan.
Sidibe hampir meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-82 ketika menyerang di sayap kanan namun rembatan lerek dilakukan mudah dipatahkan penjaga gawang lawan.
Selepas ini, Dortmund dijadualkan terbang ke Vietnam bagi meneruskan siri Jelajah Asia kelab itu sementara menunggu kempen Piala Dunia berakhir. – KOSMO! ONLINE