PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan oleh kerajaan untuk beliau.
Menurut bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir, sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan pentadbiran terdahulu.
“Keputusan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.
“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri.
“Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubahsuai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Anwar memaklumkan beliau menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang disediakan untuk kegunaannya.
Menurutnya, kenderaan itu telah dibeli dan diperoleh oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki Pejabat Perdana Menteri.
“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.
Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” kata Anwar. – KOSMO! ONLINE