PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan empat negeri bermula khamis sehingga 3 November ini.
MetMalaysia memaklumkan negeri-negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.
“Di Pantai Timur, amaran waspada dikeluarkan membabitkan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan) serta di Terengganu.
“Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan di negeri Sabah yang meliputi kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih dijangka berlaku di negeri-negeri lain Semenanjung serta pedalaman Sarawak pada sebelah petang dan awal malam.
Justeru itu, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat cuaca yang terkini menerusi portal laman web rasmi www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan semua laman media rasmi MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE