GADIS ini begitu prihatin dengan isu keciciran murid dalam pelajaran. Melihatkan isu tersebut, pemilik nama Joanne Wong percaya peranannya dalam bidang pendidikan sebagai guru pada satu hari nanti boleh membantu mengurangkan kadar keciciran murid.
Antaranya adalah dengan memberi pendedahan kepada ibu bapa tentang kepentingan pendidikan kepada anak-anak.
Kata gadis yang kini sedang melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKP) itu, guru boleh mengadakan pelbagai aktiviti penyayang untuk menarik minat murid ke sekolah.
Pada masa sama, kepelbagaian pendekatan dan strategi pengajaran perlu digunakan untuk membantu mengurangkan jurang kemahiran serta pengetahuan murid.
Bagi anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu, pelbagai cara harus diusahakan untuk murid kembali ke sekolah.
“Cita-cita saya adalah menjadi seorang guru. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di IPGKP.
“Saya mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai major dan Sains sebagai minor. Saya memilih menjadi seorang guru kerana ingin menyampaikan ilmu pengetahuan dan nilai murni kepada generasi muda.
“Ia bagi membentuk modal insan yang berkualiti selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan berasaskan kepercayaan kepada Tuhan.
“Diharapkan pembelajaran sepanjang lima tahun di IPGKP dapat memberi pengetahuan dan kemahiran kepada saya agar boleh diaplikasikan pada masa depan,” katanya.
Menurut gadis yang mendapat pendidikan di SJK (C) Chien Chi, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru itu, profesion perguruan adalah penting untuk menghasilkan masyarakat berilmu dan beradab.
“Pada tahun lepas, saya dan rakan-rakan bersama dengan bimbingan Dr. Dr. Yeap telah melibatkan diri dalam Showcase Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) Jabatan Sains dan Matematik (JSM).
Yeap telah melibatkan diri dalam Showcase Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) Jabatan Sains dan Matematik (JSM).
“KPPB yang dijalankan merangkumi kursus General Biology, General Physics, Numbers and Number Structure dan Mathematical Reasoning.
“Manakala kompetensi global 6C pula merangkumi critical thinking, creativity, communication, character, citizenship and communication dan 3E merangkumi engagement, enhancement serta extension.
“Sepanjang pengajian, dia telah menghasilkan beberapa produk seperti kertas kerja Kit New Era PDPR Power Hot’s Sustainability, Google Sites dan brochure,” jelasnya.
Berpeluang menerokai pelbagai ilmu seperti pembelajaran sepanjang hayat, Joanne berharap input tersebut dapat diaplikasikan pada masa depan.
“Sepanjang tempoh pembelajaran ini, pelbagai ilmu dan kemahiran baharu telah dipelajari. Ilmu yang diperoleh bukan sekadar pengajian di bilik darjah tetapi pengalaman hidup.
“Contohnya, pengalaman sebagai ketua pengawas untuk dua sesi akademik sekolah menengah membolehkan saya sentiasa berfikiran positif, sanggup memikul tanggungjawab, bersedia memberi pertolongan dan melaksanakan amanah dengan baik,” tambahnya.
Ujar gadis itu lagi, dia banyak menjadikan ibu dan bapa sebagai sumber inspirasi untuk berjaya.
Jelasnya, kedua-dua ibu bapanya sentiasa memberi didikan, asuhan dan galakkan kepada Joanne agar terus berusaha sehingga mencapai kejayaan diingini.
“Mereka banyak berkorban masa dan wang demi mendidik saya.
“Saya berharap dapat belajar dengan lebih tekun demi merealisasikan impian serta membalas jasa ibu bapa.
“Jasa ibu bapa tidak dilupakan dan akan dikenang selama-lamanya,” kongsinya.
Biarpun sibuk menelaah pelajaran, namun gadis itu tidak mensia-siakan waktu lapang yang dimiliki bersama keluarga tercinta.
Dia juga gembira apabila berpeluang melancong ke negara orang bersama keluarga.
Katanya, melancong bukan sahaja menjadikan hubungan silaturahim lebih erat, malah dia boleh menimba ilmu pengetahuan tentang budaya dan tradisi masyarakat di sesebuah negara.
“Negara yang paling saya suka ialah Australia kerana mempunyai pelbagai tempat yang menarik.
“Antaranya, Sydney Opera House yang terkenal sebagai bangunan ikonik dunia dengan seni bina unik.
“Tidak ketinggalan Sydney Harbour Bridge, The Blue Mountain dan Three Sisters di Echo Point Lookout. Di Three Sisters, dia berpeluang menaiki kereta kabel berlantaikan kaca ke Scenic World dan melihat landasan kereta api tercuram di Australia.
“Selain tempat menarik, terdapat pelbagai haiwan yang unik di Australia. Antaranya, kanggaru dan koala yang merupakan haiwan ikonik negara berkenaan,” kongsinya.