SEGAMAT – “Hari ini saya berjumpa dengan dua anak dan ingin memeluk serta mencium mereka tetapi mereka memandang saya dengan pandangan janggal.”
Demikian pengorbanan dibuat Syuhaimi Shuib, 24, apabila dia sanggup meninggalkan isteri serta dua anaknya bagi mengikuti Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (PLAK) Siri 2/2022 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Batu Anam, di sini.
Bagaimanapun, pengorbanan itu ‘berbayar’ apabila dia dinobatkan sebagai Pelatih Akademik Terbaik selepas enam bulan menjalani latihan.
Syuhaimi yang berasal dari Langkawi, Kedah, mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu dengan Nurul Rosli, 25, sebelum ditawarkan menyertai program berkenaan Mei lalu.
“Anak-anak pandang saya dengan janggal seperti tidak kenal kerana susuk fizikal saya sedikit berbeza.
“Mereka tidak bertemu saya selama enam bulan kerana saya berada di PLAK dengan berambut pendek, kelihatan sedikit kurus selain berkulit sawo matang kerana latihan di bawah terik matahari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat PLAK di sini.
Majlis disempurnakan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zaini Jass dengan 395 pelatih berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 29 Mei lalu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Nerita Yaacob, Komandan Pulapol Segamat, Superintendan Ali Omar serta ahli keluarga pelatih.
Kata Syuhaimi, pada awalnya, dia berbelah bahagi untuk meninggalkan isteri serta anak lelaki dan perempuan berusia setahun dan dua tahun.
“Atas sokongan isteri yang mahu saya meneruskan impian untuk menjadi anggota polis, saya menerima tawaran itu dengan penuh bersemangat.
“Saya bercita-cita untuk menjadi anggota polis sejak di bangku sekolah dan memohon untuk mengikuti program ini.
“Saya tidak sangka rezeki anak dan isteri selepas berkahwin, saya mendapat tawaran ini. Saya bersyukur kerana isteri memberi sokongan dan mengizinkan saya mengikuti latihan terbabit,” ujarnya.
Seorang lagi pelatih dari Kota Marudu, Sabah, berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Zulfiqar Ikmal Jamaluddin, 22, berkata, dia teruja menjadi anggota berpangkat konstabel.
“Sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar ini, saya akan berusaha di peringkat bawah untuk menjadi seorang pegawai polis yang berjaya suatu hari nanti.
“Ini adalah sebagai permulaan saya untuk berusaha lebih keras ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya amat meminati pasukan seragam sejak kecil lagi dan ini adalah tujuan utama saya memohon mengikuti program latihan ini,” katanya.
Seorang lagi pelatih dari Kuala Lumpur iaitu Muhammad Amir Hazwan Abdul Wahab, 23, menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan.