AL RAYYAN – Kemampuan pemain untuk ‘memenangi’ pertarungan mental menjadi faktor terpenting kepada kejayaan Iran untuk menewaskan Wales 2-0 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Ahmad Bin Ali, kelmarin.
Walaupun dipalit isu dan protes terhadap kerajaan daripada penyokongnya sendiri, pengendali Iran, Carlos Queiroz percaya bahawa anak-anak buahnya telah menunjukkan kualiti tersendiri untuk keluar daripada segala gangguan luar padang.
Kemenangan itu menghidupkan semula skuad Team Melli untuk layak ke peringkat kalah mati selepas memulakan kempen dengan detik mengecewakan apabila dibelasah England 2-6.
Ketika peluang makin terbuka untuk Iran melepasi peringkat kumpulan, Queiroz merasakan pemainnya tidak akan mensia-siakan peluang untuk terus menghadirkan pencapaian baik kepada wakil dari Asia itu.
“Ada kalanya maruah kami dicalar dan sudah pasti keputusan perlawanan pertama begitu menyakitkan bagi kami.
Kami bermain dengan baik dan menunjukkan karakter luar biasa.
“Inilah profil sebenar pasukan kami, bermain dengan penuh kesepakatan. Ini adalah peluang kami untuk bangkit dan pemain berjaya beraksi dengan cemerlang, malah saya berasakan Iran patut memenangi perlawanan ini,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Roozbeh Cheshmi dan Ramin Rezaeian muncul wira Iran apabila menyumbangkan kedua-dua gol perlawanan dalam tempoh empat minit dalam masa kecederaan.
Bagaimanapun, venue perlawanan dipalit dengan insiden kontroversi membabitkan kelompok penyokong prokerajaan dan penunjuk perasaan yang melakukan protes terhadap kematian seorang wanita, Mahsa Amini, September lalu. – AGENSI