fbpx

Piala Dunia: Belgium rebah tersungkur di tangan Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA penjaring Maghribi, Abdelhamid Sabiri (no. 11) dan Zakaria Aboukhlal (no. 14) bersama rakan sepasukan melakukan sujud syukur selepas tewaskan Belgium 2-0. - BLEACHER REPORT FOOTBALL

DOHA – Dua pemain gantian Maghribi, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal menghasilkan dua gol penting untuk mencipta kejutan menewaskan pasukan nombor dua dunia, Belgium 2-0 pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

Selepas cipta sensasi dengan mengikat satu lagi gergasi Eropah, Croatia tanpa jaringan pada aksi pertama, Maghribi kekal yakin dengan mempertaruhkan kesebelasan sama manakala pengendali Belgium, Roberto Martinez melakukan tiga perubahan.

Sejarah membuktikan Maghribi hanya mampu mengumpul dua kemenangan di Piala Dunia namun kejayaan ini melengkapkan misi balas dendam The Atlas Lions selepas Belgium tundukkan mereka 1-0 pada perhitungan pertama di pentas ini semasa edisi 1994.

Sekalipun peratusan penguasaan permainan lebih berpihak kepada Belgium, anak buah Martinez seakan hilang idea setiap kali mengatur serangan malah bintang sensasinya, Kevin De Bruyne seperti gagal menyerlahkan potensi sebenar dimilikinya.

Walaupun jarang memiliki percubaan bahaya, Maghribi yang menghuni ranking ke 22 dunia jelas menggunakan kelebihan yang ada pada Hakim Ziyech apabila sering menjadi pemain tumpuan yang dicari oleh rakan sepasukannya.

Sebaik memasuki masa kecederaan babak pertama, Ziyech berjaya menggegar gawang Belgium sebaliknya pengadil perlawanan, Cesar Arturo Ramos Palazuelos ambil keputusan membatalkan jaringan itu selepas penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati terdapat pemain Maghribi berada di kedudukkan offside.

Belgium terus bergelut di babak kedua dengan De Bruyne kekal dipalit masalah prestasi dan sering hilang bola manakala Maghribi tampil lebih berdisiplin dengan memenuhi kawasan sendiri setiap kali lawan mengatur gerakan.

Seterusnya, Maghribi membuktikan mereka pasukan yang lebih baik dan minit ke-73, skuad The Atlas Lions sekali lagi menyerlahkan kualiti dalam situasi bola mati apabila memperoleh gol pembukaan menerusi sepakan percuma Abdelhamid Sabiri.

Sebaik aksi memasuki masa tambahan, seorang lagi pemain gantian gantian Maghribi, Zakaria Aboukhlal terus mematikan sisa perjuangan Belgium apabila meledak gol kedua selepas menerima umpanan berkualiti daripada Ziyech. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI