BEBERAPA hari saja lagi, kita akan masuk ke bulan terakhir 2022. Bermacam-macam perkara telah berlaku dengan negara baharu selesai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seperti yang saya kongsikan dalam sesi mingguan usahawan bimbingan RichWorks pada 2 November lalu, keadaan politik dijangka tidak begitu stabil selepas PRU.
Kita lihat sendiri, beberapa hari Parlimen tergantung menyebabkan impak yang tidak berapa baik kepada negara.
Namun alhamdulillah, kerajaan perpaduan baharu telah dibentuk Khamis lalu dan pemimpin-pemimpin yang bakal dilantik menganggotai Jemaah Menteri diharap akan dapat bergerak dengan lebih pantas.
Lupakan sekejap persengketaan dan perbezaan, kerana inilah masanya pemimpin yang dipilih rakyat jalankan tanggungjawab untuk memacu negara ke tahap lebih baik.
Let’s make Malaysia great again, insya-Allah.
Saya bukan nak ceburi politik, cuma situasi yang berlaku sekitar PRU-15 ini sebenarnya boleh dipelajari bangsa usahawan.
Jika pemimpin atau calon itu nak bertanding dan mendapatkan undi tinggi, mereka perlulah seorang yang walk the talk.
Bukannya orang yang cakap tak serupa bikin! Apa yang dikatakan perlu dikotakan, apa dijanjikan perlulah dilunaskan.
Barulah rakyat akan meletakkan rasa percaya kepada pemimpin itu.
Begitu juga sebagai usahawan, jika anda sendiri cakap tak dikota, bagaimanalah pasukan bisnes nak berjuang bersama-sama.
Anda janjikan bulan dan bintang, nak bantu pasukan atau ejen mahupun dropship capai impian masing-masing, peluang perkembangan kerjaya dan sebagainya namun hanya manis dibibir!
Adakah mereka akan bantu dan bersama anda untuk mencapai sasaran yang ditetapkan?
Sebab itu, satu aspek penting dalam membina bisnes yang berjaya adalah kepimpinan.
Kepimpinan akan mempengaruhi kejayaan bisnes, malah ia juga boleh menjatuhkannya.
Orang akan ikut cakap dan buat apa yang anda lakukan secara nyata ataupun senyap.
Contohnya jika anda masuk ke pejabat pakai selipar, kebarangkalian untuk staf ikut tinggi sebab anda menjadi role model mereka.
Siapa yang akan tetapkan standard pasukan anda tinggi atau rendah, semuanya bergantung kepada pemimpin itu sendiri.
Andalah pemandu kepada bisnes itu, tanpa pemandu yang bagus, kemungkinan akan ambil masa lebih lama, atau tak sampai pun ke destinasi yang nak dituju.
Tiga soalan ini anda perlu tanya sebagai seorang pemimpin dalam bisnes:
1. Adakah anda masih ‘hadir dan menguruskan’ bisnes itu?
2. Apakah anda masih memacu jualan dan prestasi, buatkan semua berjuang bersama?
3. Adakah anda pastikan aktiviti-aktiviti membawa kepada jualan terus berlaku?
Semak diri anda, jika salah satu ini ada jawapan tidak, maka tunggulah masa untuk bisnes anda ‘stuck’ dan merudum!
Melainkan bisnes anda itu sudah ada struktur yang lengkap dan ada orang boleh menguruskannya lebih baik daripada anda.
Soalnya sekarang ada ke tidak?