fbpx

Joshua cipta kejutan tawan ATC 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOSHUA melintasi garisan penamat sebagai juara ATC 2022 kategori elit lelaki di Silverlake Village Outlet, Ipoh semalam.

ATLET Australia, Joshua Ferris mencipta kejutan apabila menjuarai kategori elit lelaki Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 yang berlangsung di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak semalam.

Walaupun tidak diletakkan pilihan utama, tetapi Joshua membuktikan kehebatannya dalam mengungguli tiga disiplin sukan, renang, berbasikal dan larian sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 53 minit dan 53 saat (s).

Atlet berusia 21 tahun itu yang menduduki ranking ke-35 Asia, berjaya meninggalkan dua pencabar terdekatnya dari Hong Kong, Wong Tsz To dan Yu Shing Him yang berada di tempat ke­dua serta ketiga.

“Ia satu persaingan yang cukup mengujakan sejak awal perlumbaan lagi, bermula dalam disiplin renang. Setiap atlet cuba untuk mendapatkan momentum terbaik apabila mula terjun ke tasik.

“Saya tidak mahu terlalu ‘menekan’ bagi mengelak kehilangan tenaga. Saya hanya cuba kekal dengan rentak dan berada dalam kelompok peserta di depan.

“Apabila memasuki disiplin kedua (berbasikal) dan terakhir (larian), saya mula mempercepatkan tempo. Walaupun mendapat cabaran hebat daripada atlet lain, saya cuba kekal berada di depan sehingga akhir saingan,” kata Joshua yang bersedia untuk menyertai saingan ini musim depan jika dianjurkan lagi.

Pujian juga harus diberikan kepada lima atlet lelaki negara, Xian Hao Chong, Isaac Tan, Chong Yoong Thiang, Wen Jun Lee dan Seh Kit Nicholas Long yang berjaya menamatkan perlumbaan kategori elit lelaki.

Bagi kategori elit wanita, atlet Jerman, Celine Kaiser muncul juara dengan catatan masa 1:00:52s, manakala Olivia Thornbury dari New Zealand dan Manami Hayashi (Jepun) masing-masing berada di tangga kedua serta ketiga.

Hari ini, dua lagi acara bakal menjadi rebutan iaitu kategori perlumbaan Olympic Distance (OD) lelaki dan wanita serta ka­tegori Sprint Distance (SD) lelaki dan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI