fbpx

Dua minggu untuk mencerakin isu subsidi – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh dua minggu kepada pihak berkaitan untuk mencerakin dan menelusuri seluruh implikasi berkaitan pemberian subsidi agar ia lebih bersasar dan sampai kepada golongan yang layak.

Anwar berkata, tempoh dua minggu tersebut juga diberi untuk berbincang dengan sektor swasta juga pelabur agar mereka faham fungsi dan tujuan subsidi diberikan iaitu bagi meringankan beban golongan miskin

“Subsidi diberikan bertujuan untuk meringankan beban rakyat miskin dan tentunya golongan kaya serta industri tidak sepatutnya mengambil manfaat daripadanya.

“Bagaimanapun, mereka ini akan kita sediakan manfaat lain seperti memperbaiki inisiatif untuk syarikat agar tidak menjadi beban kepada mereka selepas terbiasa dengan pemberian subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut disertai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus, dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan.

Turut hadir adalah pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Jelas Anwar, perihal pemberian subsidi itu turut melibatkan tarif elektrik yang pada hemat beliau adalah tidak munasabah apabila ia dinikmati oleh hampir semua pihak.

“Angka yang dibentangkan kepada saya dalam mesyuarat hari ini menunjukkan jumlah golongan miskin dan kaya yang menikmati subsidi tarif elektrik adalah hampir sama iaitu kira-kira RM2.5 bilion.

“Pada saya perkara ini tidak munasabah, namanya subsidi tapi turut beri manfaat kepada golongan lain yang tidak memerlukannya,” tegas beliau.

Anwar berkata, subsidi bagi tarif elektrik akan diteruskan untuk golongan memerlukan namun golongan terkaya dan industri besar tidak harus mendapat kemudahan itu kerana ia memberi beban ekonomi besar kepada kerajaan.

“Saya dahulukan dengan isu subsidi kerana saya anggap kos sara hidup masa kini terlalu menyiksa rakyat miskin.

“Saya beri notis dua minggu ini, selesai pembentukan kabinet kelak kita dapat meneliti keseluruhan dasar ini dan kementerian yg ditugaskan sediakan kertas akan dibincangkan dengan semua termasuk sektor swasta sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan saya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI