PETALING JAYA – Khabar angin mengatakan buah pinggang pelakon Nad Zainal bermasalah gara-gara ubat kurus adalah tidak benar sama sekali.
Menegaskan perkara tersebut, pengarah dan penerbit Shahrulezad Mohameddin berkata, organ dalaman Nad yang kini masih ditidurkan akibat pendarahan pada paru-paru berada dalam keadaan baik.
Malah, kadar kebergantungan pelakon itu terhadap mesin oksigen juga semakin berkurangan.
“Alhamdulliah. Kadar kebergantungan Nad dengan mesin oksigen pun semakin berkurangan. Bila keadaan sesuai barulah doktor akan extubate. Saya rasa tak lama lagi. InsyaAllah.
“Satu lagi apa yang buat saya sangat lega ialah organ penting Nad juga dalam keadaan baik terutamanya buah pinggang.
“Jadi khabar angin mengatakan buah pinggang dia bermasalah gara-gara ubat kurus adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya.
Pada Selasa lalu, Nad, 32, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri akibat jangkitan kuman dan pendarahan pada paru-paru.
Berkongsi lanjut perkembangan terkini aktres itu, Shahrulezad berkata, Nad masih ditidurkan berikutan paru-parunya dalam proses penyembuhan.
“Alhamdulillah keadaan dia hari ini (semalam) lebih baik berbanding semalam (kelmarin). Tapi doktor masih mahu Nad ditidurkan selagi paru-parunya belum betul-betul kuat.
“Apa yang Nad perlukan sekarang ialah kekuatan dalaman untuk terus berjuang dan kembali sihat.
“Selain itu dia juga perlukan doa semua. Saya percaya dia akan kembali sihat semula seperti biasa tidak lama lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE