SHAH ALAM – Menepati ramalan, lagu Bahagiakan Dia kolaborasi Shila Amzah dan Liza Hanim serta Debu (Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi) diumumkan antara 12 buah lagu memburu gelaran juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), Februari tahun depan.
Penyanyi Ernie Zakri pula kembali beraksi di pentas berprestij tersebut menerusi lagu ciptaannya berjudul Korban, manakala Aina Abdul turut menempah tiket ke AJL37 menerusi karya Terus Hidup.
Turut mengiringi ke AJL37, lagu Kembali Terang nyanyi Marsha Milan, Khai Bahar (Sengsara) dan Mainan (Naim Daniel).
Selain itu, keunikan lagu Nang nyanyian Iman Troye dan Irama (Shiha Zikir) turut berjaya mara ke pentas AJL37.
Tidak ketinggalan, lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne serta Payung Pelangi (Noki bersama MK K-Clique) juga bakal memberikan saingan sengit.
Menyertai senarai, lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos turut turut mengambil bahagian.
Senarai kesemua lagu final AJL37 diumumkan usai Separuh Akhir Muzik Muzik ke-37 (SFMM37) sesi kedua yang berlangsung petang semalam.
Dihoskan Muaz dan Izzue Islam, SFMM37 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod yang berlangsung kelmarin dan semalam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.
Semua lagu dinilai oleh barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail bersama Damien, LY, Azlan Abdul Hassan Jenny Chin dan Cikgu Shafi. – KOSMO! ONLINE