LENGGONG – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat usaha membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat berkenaan dan individu yang menjadi perantara untuk urusan ‘jual beli’ tersebut.
“Yang melukakan hati saya apabila dimaklumkan bahawa sudah ada ejen parti yang menghubungi ADUN BN supaya tinggalkan parti dan sertai mereka seperti mana yang berlaku pada PRU14.
“Itu bukan cara yang baik, itu namanya tikam belakang dan pengkhianatan. Apa yang berlaku pada 2018, dengan cara sama juga mahu bawa sekurang-kurangnya empat orang ADUN lari menyertai mereka dan menubuhkan kerajaan negeri.
“Saya cakap ‘no way’. Saya terus buat keputusan dan hubungi pihak istana, mohon menghadap Sultan Perak untuk sembah maklum bahawa kita (BN) dan Pakatan Harapan) cukup kerusi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Khas Menteri Besar Perak di Kompleks Komuniti Desa Kemas Lenggong di sini hari ini.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, sebelum keputusan itu disembah maklum kepada baginda, beliau telah pun bertemu dengan kesemua lapan wakil rakyat BN yang menang pada PRU15 bagi menyatakan pakatan antara dua gabungan parti bagi membentuk kerajaan negeri.
“Saya jumpa lapan ADUN BN, saya tanya setiap daripada mereka dan semuanya bersetuju dengan saya,” katanya.
Sementara itu Saarani ketika ditemui enggan mendedahkan siapa antara wakil rakyat BN yang cuba dibeli demi menjaga keselamatan mereka. – KOSMO! ONLINE