fbpx

1.03 juta orang sertai Malaysia Techlympics 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin (dua kanan) melawat ruang pertandingan cabaran inovasi pintar (cetakan 3D) selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan di Axiata Arena, hari ini

KUALA LUMPUR – Penganjuran Malaysia Techlympics 2022 khusus untuk peserta berusia tujuh hingga 30 tahun, berjaya menarik pendaftaran seramai 1.03 juta orang sekali gus melepasi sasaran asal satu juta orang.

Program tersebut yang dilancarkan pada Mac lalu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) selaku agensi pelaksana Malaysia Techlympics 2022.

Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, program tersebut bertujuan merancakkan aktiviti bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) negara melalui pembelajaran berasaskan pengalaman untuk melengkapkan pembelajaran STI.

Ujarnya, dengan tema ‘berhubung, bersaing, berjaya’, ia adalah usaha membudayakan minat generasi muda terhadap STI.

“Sebanyak 32 pertandingan di bawah lima tema utama ditawarkan dan tertumpu kepada bidang-bidang melibatkan kejuruteraan, pengkomputeran dan mikrokomputer, nano, Internet benda (IoT), robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta percetakan dan pembangunan tiga dimensi (3D).

“Penyertaan dalam Malaysia Techlympics adalah secara berkumpulan dan setiap pertandingan disusun berdasarkan ‘penyelesaian masalah’ di mana peserta akan menjana idea inovasi berdasarkan tema yang ditetapkan.

“Pelbagai aktiviti pembelajaran tidak formal juga diatur sepanjang program seperti bengkel, webinar, permainan, makmal pembuatan, pertandingan, kuiz dan pameran,” katanya pada Majlis Penutup Malaysia Techlympics 2022 Peringkat Akhir Kebangsaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, penyertaan orang ramai melebihi sasaran satu juta disebabkan pelbagai faktor termasuk tidak banyak program STI ditawarkan mana-mana agensi.

“Jadi Mosti teruja dengan penganjuran STI ini dan ramai yang datang untuk mengetahui apa itu STI selain program-program yang dijalankan. Malah dengan adanya Malaysia Techlympics ini, ia sebagai platform kepada mereka untuk bidang STI,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI