LUSAIL – Pengendali Brazil, Tite mengesahkan bahawa ayam tambatannya, Neymar akan terus beraksi pada kempen Piala Dunia kali ini biarpun berdepan kecederaan buku lali ketika pasukan itu menewaskan Serbia 2-0 awal pagi semalam.
Penyerang Paris Saint-Germain itu terpaksa dikeluarkan kira-kira 11 minit sebelum perlawanan berakhir selepas diterjah keras pemain Serbia menyebabkan dia gagal untuk meneruskan perlawanan.
Sepanjang perlawanan tersebut, Neymar dilihat menjadi sasaran para pemain Serbia yang menggunakan tindakan agresif untuk menyekat pergerakannya apabila dikasari sebanyak sembilan kali termasuk ketika dia tidak bersama bola.
Bagaimanapun, Tite yang sangat gembira dengan permulaan positif dipamerkan oleh pasukannya percaya bahawa Neymar tidak mengalami kecederaan serius dan akan dipantau untuk tempoh 24 hingga 48 jam lagi.
“Jangan bimbang, Neymar akan terus kekal beraksi pada saingan Piala Dunia kali ini. Dia akan terus bermain dan saya sangat pasti mengenainya,” jelasnya.
Dalam pada itu, doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar mengesahkan bahawa Neymar mengalami kecederaan pada buku lali kanan akibat terjahan keras pemain Serbia, Nikola Milenkovic.
“Kami sudah memberikan rawatan segera ketika dia berada di bangku simpanan. Neymar akan menjalani rawatan fisioterapi, tetapi kita perlu menunggu antara 24 hingga 48 jam untuk melihat perkembangannya,” jelasnya.
Pada aksi awal pagi semalam itu, Brazil berjaya meraih tiga mata selepas meraih kemenangan menerusi dua gol yang dihasilkan oleh Richarlison.
Sepanjang aksi berkenaan, Brazil berjaya membuktikan mereka adalah pasukan berstatus pilihan untuk muncul juara pada edisi kali ini apabila menguasai sebahagian besar perlawanan berkenaan. – AGENSI