fbpx

Piala Dunia : England hampiri pusingan 16 terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang England, Harry Kane melakukan percubaan ke arah pintu gol Amerika Syarikat di Stadium Al-Bayt semalam - AFP

AL KHOR – Impian pasukan England untuk layak lebih awal pusingan 16 terbaik tertangguh apabila pasukan kendalian Gareth Southgate terikat 0-0 ketika berdepan Amerika Syarikat (AS) pada aksi Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt, sebentar tadi.

Pada saingan tersebut, England meletakkan harapan cukup tinggi untuk pulang dengan tiga mata apabila menurunkan barisan pemain terbaiknya seperti Raheem Sterling, Harry Kane dan Bukayo Saka pada aksi Kumpulan B tersebut.

England hampir membuka jaringan pembukaan mereka pada awal minit kesembilan, namun rembatan deras Harry kane yang menerima umpanan cantik pemain sayap Arsenal, Saka berjaya disekat pemain pertahanan Amerika Syarikat (AS), Walker Zimmerman.

Tersentak dengan keadaan tersebut, AS menggandakan usaha mereka dan peluang keemasan muncul pada minit ke-32 apabila rembatan kencang Christian Pulisic hampir menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford, namun ia sekadar menggegar palang gol.

Pada penghujung babak pertama, England hampir memecah kebuntuan, namun cubaan tepat Mason Mount berjaya ditepis penjaga gol AS, Matt Turner dan keputusan 0-0 kekal separuh masa pertama perlawanan tersebut.

Memasuki babak kedua perlawanan, aksi lebih seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan yang mana saling menguji kekebalan benting pertahan lawan mereka.

Skuad The Three Lions dilihat melakukan tiga pertukaran pada 20 minit terakhir apabila membawa masuk Jack Grealish, Jordan Henderson dan Marcus Rashford untuk mencari tiga mata penting mereka.

England hampir memastikan tiga mata dalam genggaman mereka, bagaimanapun tandukkan Harry Kane sedikit tersasar dari gawang gol sekali gus memberi tekanan kepada pasukan tersebut untuk pulang dengan kemenangan.

Tiada jaringan terhasil dalam tempoh 90 minit perlawanan dan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas ini England akan berdepan Wales pada 30 November ini untuk memburu tempat ke pusingan kalah mati.

Meskipun sekadar berkongsi satu mata, England kekal di tangga teratas Kumpulan B dengan empat mata dan Iran yang melakar kejutan menewaskan Wales 2-0 semalam berada di kedudukan kedua dengan tiga mata. 

Amerika Syarikat berdepan tugas berat apabila berada di tangga ketiga apabila meraih dua mata selepas seri ketika berdepan Wales sebelum ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI