fbpx

Pesakit kanser usus tahap empat gagah diri hadir majlis konvokesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anis Mardiana menerima ijazah doktor falsafah daripada Tengku Permaisuri Norashikin. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Walaupun diagnosis mempunyai kanser kolon atau usus tahap empat tidak mematahkan semangat Dr. Anis Mardiana Abdullah menggagahkan diri berdiri dan mengambil skrol ijazah kedoktoran (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Anis Mardiana, 45, turut menerima anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysian Technology Development Corp. (MTDC) hasil kajiannya dalam pengangkutan dan logistik.

Kata ibu seorang anak itu, dia enggan menggunakan kerusi roda bagi mengelakkan menyusahkan orang lain.

“Saya baru diagnosis penyakit ini dua minggu lalu. Apabila dapat anugerah ini amat terkejut dalam keadaan kesihatan sebegini.

“Masa sambung PhD tiada simptom teruk sebaliknya hanya tangan menggeletar dan fikir itu disebabkan stress buat PhD,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, hari ini.

Anis Mardiana menjelaskan dia akan menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu pada minggu depan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Kalau ikut kata doktor sudah lama penyakit ini, tetapi kita tidak sakitkan. Saya berharap pembedahan berjalan lancar,” katanya.

Wanita itu memberitahu, dia menggunakan pengalaman sebagai pegawai di Kementerian Kewangan dalam menjalankan kajian berkaitan logistik dan pengangkutan terutama dalam bidang halal.

Tambahnya, sokongan suami dan anak banyak membantunya menyelesaikan pengajian tersebut dalam tempoh hampir empat tahun.

“Ramai beranggapan apabila buat PhD akan melalui waktu keseorangan dan sunyi. Jangan putus asa dan carilah kawan serta berbaik dengan penyelia supaya tugasan dapat diselesaikan dengan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Siti Shakinah Sobri, 36, yang sarat mengandung sembilan bulan sanggup menempuh perjalanan sejauh 444 kilometer dari Alor Setar, Kedah semata-mata bagi menerima Ijazah Sarjana Perubatan Patologi anatomi.

Dia yang kini bertugas di bahagian patologi Hospital Tuanku Fauziah, Kangar di Perlis memaklumkan hasrat itu pada awalnya dihalang suaminya untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Ini adalah anak pertama dan saya tetap mahu hadir untuk bertemu dengan rakan-rakan lain. Syukur dapat tamatkan pengajian dan memang berhasrat menyambung pengkhususan dalam kepakaran patologi,” katanya.

Sidang pertama hari ini disempurnakan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan melibatkan 116 graduan ijazah Kedoktoran. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI