MALAM ini milik siapa? Di atas kertas, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai barisan pemain berkualiti bahkan disifatkan calon pilihan untuk menjulang Piala Malaysia, namun jangan dinafikan kemampuan skuad Selangor FC yang pastinya memiliki semangat jitu untuk menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa trofi.
Kedua-dua pasukan sama ada kelab Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio atau skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe, masing-masing ada kehebatan malah memiliki tradisi serta sejarah dalam pemburuan trofi di pentas perlawanan akhir.
Ketua jurulatih JDT, Bidoglio percaya semangat serta motivasi barisan pemain cukup membara untuk melengkapkan musim cemerlang Harimau Selatan dengan menjulang Piala Malaysia.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Selangor FC, Cheng Hoe lebih selesa untuk turun ke final tanpa sebarang tekanan, cuma mungkin kelebihannya pernah menjadi pengendali Harimau Malaya, maka sedikit sebanyak mengenali corak permainan pemain kebangsaan dalam skuad JDT. – KOSMO ONLINE