VENICE, ITALI – Seorang wanita meninggal dunia selepas terjatuh dari tebing setinggi 304 meter akibat tergelincir semasa mendaki sebuah gunung di Itali, lapor akhbar New York Post.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan), Ahad lalu ketika mangsa, Maria Cristina Masocco mendaki Pergunungan Dolomites, wilayah Veneto yang memiliki puncak setinggi hampir 3,352 meter.
“Berita yang kami terima mengenai kematian tragis seorang wanita muda bernama Maria Cristina Masocco. Insiden berlaku petang tadi (Ahad lepas) di kawasan pergunungan, ia amat mengejutkan,” kata Datuk Bandar Feltre, Viviana Fusaro.
Masocco dilaporkan berjalan di lereng gunung apabila kakinya tiba-tiba tergelincir, menyebabkan dia terjatuh ke bawah sambil menjerit dan hilang dari pandangan, demikian menurut saksi kejadian.
Rakan Masocco yang mendaki bersama-samanya segera menghubungi perkhidmatan kecemasan yang kemudian mengerahkan sebuah helikopter penyelamat ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan telah meninggal dunia ketika bantuan kecemasan tiba.
“Saya menzahirkan rasa simpati yang ikhlas daripada semua masyarakat di sini, yang turut berduka cita di atas kehilangan mangsa,” kata Fusaro lagi. – Agensi