fbpx

IPT perlu rangka pelan pengajian selari permintaan pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Permaisuri Norashikin ketika bertitah pada istiadat konvokesyen UiTM, hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara perlu memastikan perangkaan pelan pengajian adalah selari dengan permintaan pasaran terutama dalam bidang-bidang yang boleh membentuk masa depan negara.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ini adalah untuk melihat para graduan mendapat pekerjaan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup sesebuah keluarga.

Baginda bertitah, difahamkan dari tahun 2020 hingga 2022, UiTM telah merangka dan menawarkan 41 program baharu di peringkat sijil, diploma, sarjana dan pascasiswazah dalam bidang-bidang yang telah dikenal pasti memerlukan tenaga kerja mahir dalam usaha memacu Malaysia ke arah negara maju.

“Penawaran program-program baharu amat penting dalam menambahkan jumlah bumiputera profesional di negara ini.

“Matlamat penubuhan universiti ini perlu dipenuhi agar keseimbangan guna tenaga dapat diwujudkan terutamanya untuk membantu anak-anak golongan B40 dan M40 dalam sektor pekerjaan,” titah baginda sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM di sini.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, UiTM adalah universiti utama pilihan ibu bapa dan pelajar kerana kemampuannya untuk menyerlah potensi dan membentuk masa depan para pelajar.

Tambah baginda, UiTM juga menjadi tumpuan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar seperti Talentcorp dan Talentbank dalam pelbagai aktiviti yang boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dari universiti ini.

“Saya percaya UiTM akan terus relevan bagi membangunkan pendidikan bumiputera sesuai dengan asas penubuhannya 61 tahun yang lalu,” tegas baginda.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut difahamkan UiTM juga terlibat dengan usaha untuk mencapai objektif matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goal (SDG).

Ini melalui aktiviti yang dijalankan oleh Pusat Hijau UiTM dan Institute Of Biodiversity And Sustainable Development ke arah menjadikan UiTM sebagai sebuah kampus lestari.

“Alhamdulillah, lebih membanggakan apabila UiTM berada pada kedudukan ke-150 terbaik di dunia daripada 956 Institusi Pengajian Tinggi yang tersenarai bagi U.I. Green-Metric (U.I.G.M.) World University Rankings 2021.

“UiTM turut berada pada tangga kesembilan daripada 28 universiti di Malaysia. Semoga kejayaan ini memberikan inspirasi ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025,” titah baginda.

Pada istiadat konvokesyen itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan menyampaikan penganugerahan Profesor Emeritus kepada Datuk Ir. Doktor Ow Chee Sheng yang merupakan bekas Presiden Institut Kejuruteraan Malaysia.

Konvokesyen UiTM ke-95 kali ini melibatkan seramai 31,220 graduan dari hari ini hingga 10 Disember depan dengan sidang pertama melibatkan 116 graduan Ijazah Kedoktoran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI