fbpx

Gergasi Merah mahu tamatkan kemarau tanpa trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE mengakui Gergasi Merah berdepan cabaran agak sukar kerana JDT berada pada tahap terbaik menjelang aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. – SHIDDIEQIIN ZON

PENGENDALI skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe memikul tugas berat untuk membantu pasukan menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa sebarang trofi utama menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.

Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah kini dalam usaha memburu trofi Piala Malaysia buat kali ke-34 selepas kali terakhir menjulang kejohanan bola sepak berprestij itu pada edisi 2015.

Namun, Cheng Hoe lebih selesa untuk turun ke pentas final tanpa sebarang tekanan kerana tiada jurulatih di dunia boleh memberi jaminan pasukan akan menang pada mana-mana perlawanan khususnya final.

“Mana-mana jurulatih terbaik pun tidak boleh beri jaminan (menang) di final tetapi impian setiap jurulatih sudah pasti mahu menjadi juara sekali gus menamatkan penantian trofi buat pasukan ini.

“Cuma, harus diakui cabaran kita agak sukar kerana JDT pasukan yang berada pada tahap terbaik dan saya jangka perlawanan sengit dengan saingan cukup hebat antara kedua-dua pasukan.

“Andai bergelar juara, itu adalah bonus buat pasukan kerana impian kita untuk layak (ke Piala AFC). Jadi saya harap pemain dapat fokus dan saya percaya mereka mampu memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil semalam.

Mengulas lanjut, bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu menyifatkan ‘hubungan akrab’ dengan pemain JDT yang sebahagian besar merupakan tonggak kebangsaan bukan kelebihan untuk mengatur strategi kali ini.

“Saya anggap aksi final adalah berbeza walaupun saya tahu sedikit sebanyak kekuatan pasukan JDT tetapi itu bukanlah kele­bihan yang ketara.

“Ini kerana mungkin mereka (pemain kebangsaan dalam skuad JDT) juga pasti tahu corak permainan dan taktikal yang mahu saya terapkan. Lebih baik fokus diberikan kepada pasukan saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, tonggak pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui skuad Merah Kuning perlu memanfaatkan kesempatan beraksi di pentas final sebaik mungkin selepas mengharungi pelbagai ‘liku’ di pusingan awal sebelum ini.

“Selangor pun sudah lama tidak menjuarai piala jadi saya rasa inilah masa terbaik untuk pemain menunjukkan potensi di atas padang. Saya rasa kalau diberi rezeki, insya-Allah kita boleh memenangi Piala Malaysia,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI