PERKARANGAN Stadium Nasional Bukit Jalil gempar dengan kehadiran ‘Harimau’ untuk sertai penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor menyaksikan final Piala Malaysia, malam ini.
Berbanding penyokong lain, kehadiran Marlinda Samuri nyata menarik perhatian dan keputusannya untuk menyarung kostum harimau itu sebagai simbolik kepada sokongan kepada JDT.
“Kalau ikutkan sudah lama saya sokong JDT dan ini adalah ‘uniform’ rasmi saya setiap kali ke stadium. Bukan saja di Stadium Sultan Ibrahim tetapi sejak JDT main di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos lagi,” katanya.
Seorang lagi penyokong JDT, Bahrin Arshad, walaupun berasal dari Negeri Sembilan’, dia begitu meminati bola sepak dan akan cuba ke stadium jika memiliki masa terluang.
“Saya asal Negeri Sembilan tetapi semua perlawanan saya pergi. Orang kata nak rasai suasana malah rakan saya juga ramai orang Johor.
“Walaupun bukan Negeri Sembilan ke final, paling penting adalah masuk stadium dan saya rasa JDT akan menang 5-4 pada penentuan penalti,” katanya.
Untuk rekod, Harimau Selatan kini sedang mengintai peluang untuk mendapatkan trofi keempat musim ini selepas menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan trofi Liga Super.
Selangor yang juga pasukan paling berjaya di pentas Piala Malaysia sedang memburu kejuaraan ke 34 dan kemenangan malam ini akan memastikan slot ke pertandingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.
“Biarlah orang kata JDT menang pun kerana bagi saya bola itu bulat. Semua pemain sama, ada dua kaki dan satu otak.
“Apa pun saya tetap yakin dengan Selangor kerana sejak dibawah Tan Cheng Hoe, penyokong dapat lihat ada peningkatan,” kata penyokong Red Giants, Azwan Waifa.