fbpx

Tiada bukti vaksin punca autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak yang mengalami masalah autisme boleh dirawat melalui terapi dan pengajaran kemahiran. – Gambar hiasan

BAGI ibu bapa yang memiliki cahaya mata sudah semestinya mereka mahukan anak itu membesar dengan sempurna.

Namun begitu, ada juga ibu bapa yang diuji apabila anak tersayang berhadapan masalah autisme.

Pakar Psikologi Klinikal di Pusat Perubatan ParkCity (PMC), Tan Pei Jun berkata, autisme adalah masalah ketidakupayaan perkembangan yang menimbulkan cabaran berterusan kepada kanak-kanak dari segi komunikasi sosial, minat khusus dan mengulangi pergerakan tertentu.

Menurutnya, dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5-TR), dia meneliti dua bidang utama iaitu komunikasi dan interaksi.

“Ia terdiri daripada defisit respons timbal balik sosial emosional, defisit perilaku non-verbal yang digunakan dalam interaksi sosial.

“Ia juga menyebabkan kekurangan kemampuan membina, mengekal dan memahami hubungan sosial.

“Contohnya, tiada kontak mata, cara berkomunikasi dan berkawan, sama ada mereka menunjukkan minat dengan rakan-rakan dan memahami emosi orang sekeliling atau tidak.

“Kedua, perilaku minat dan aktiviti yang repetitif atau terbatas seperti desakan untuk kesamaan.

“Anak autistik ini juga enggan menerima perubahan kepada rutin dan tingkah laku verbal atau non-verbal yang dijadikan seperti ritual,” katanya.

Hakikatnya, ada dalam kalangan kanak-kanak autistik yang mempunyai minat sangat tinggi dan terhad kepada sesuatu perkara sehingga tahap tidak normal.

Sebagai contoh, terdapat anak autistik yang sangat sukakan dinosaur sehingga mereka boleh menyenaraikan nama saintifik haiwan itu yang kita sendiri pun tidak tahu.

Tambahnya, ada juga anak autistik yang mempunyai tindak balas terlalu tinggi atau rendah kepada input deria dan minat luar biasa dalam aspek persekitaran.

Misalnya, kita tidak dapat mendengar bunyi jam berdetik tetapi mereka sangat sensitif sehingga boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan.

Kanak-kanak berkenaan mungkin tidak dapat menapis input deria mereka mengikut kepentingan.

Justeru, apabila kanak-kanak ini didedahkan kepada pelbagai input deria pada masa serentak, ia mungkin akan menyebabkan mereka berasa sangat gelisah.

Keadaan ini berbeza kepada setiap kanak-kanak autistik. Namun, itu semua adalah simptom yang wujud dalam kalangan mereka.

PEI JUN

Sesetengah daripada mereka tidak suka disentuh. Ini kerana, ia boleh menyebabkan mereka rasa terlalu sensitif, walaupun kita tidak merasakan apa-apa.

Mereka juga tidak begitu selesa dengan rangsangan yang terlalu tinggi.

Ini adalah beberapa simptom atau kriteria dalam DSM-5-TR.

Sementara itu, Pei Jun menerangkan, tanda-tanda awal kanak-kanak berhadapan dengan masalah itu adalah dari segi kelewatan perkembangan.

Menurutnya, kanak-kanak mula merangkak pada usia enam ke tujuh bulan, berjalan dan bercakap satu perkataan (usia setahun) serta dua hingga tiga perkataan dan frasa pendek (usia dua tahun).

“Jika mereka mempunyai kelewatan dalam hal ini, ia boleh menjadi petanda. Kelewatan pertuturan adalah sangat biasa. Mereka juga bermain mainan dengan cara aneh kerana tidak tahu cara yang betul.

“Tanda awal lain, mereka tidak memandang apabila dipanggil dan tiada tindak balas atau kontak mata,” terangnya.

Ini adalah beberapa tanda awal yang kita boleh perhatikan.

Biasanya, tanda ini boleh disedari seawal 18 bulan, tetapi untuk menjalani diagnosis kanak-kanak tersebut perlu berumur 2 tahun.

Ini kerana, kita perlu memberi masa kepada mereka untuk menguasai beberapa kemahiran dan melalui perkembangan kognitif.

Dalam pada itu, Pei Jun menjelaskan, anak-anak yang berhadapan dengan masalah itu boleh diubati. Menurutnya, jika ibu bapa mahu anak itu bersosial dengan orang lain, ia mungkin boleh dilakukan melalui terapi dan pengajaran kemahiran.

Dalam pada itu, sebilangan besar masyarakat kita tidak menyedari bahawa terdapat simptom autisme.

Pei Jun menerangkan, ramai ibu bapa yang datang kepadanya memberitahu bahawa anak mereka mengalami kelewatan bercakap.

Katanya, mereka beranggapan itu hanyalah sementara kerana ada ahli keluarga yang mengalami masalah sama, namun membesar dengan baik.

“Ramai ibu bapa bertanya kepada saya sama ada betul autisme berpunca daripada vaksin.

“Ada antara mereka telah menolak semua vaksin kerana khuatir anak mereka mendapat autisme. Mereka beranggapan terdapat merkuri dalam vaksin yang mungkin menyebabkan autisme.

“Namun, tiada kajian dan bukti saintifik tentang tanggapan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI