PETALING JAYA – Baru lapan bulan mendirikan rumah tangga, namun suami merasakan mahu berpisah sedangkan hati si isteri masih menyayangi perkahwinan tersebut.
Hal ini disebabkan sikap ibu bapa si isteri yang sering masuk campur urusan rumah tangga menyebabkan bukan hanya suami, bahkan mentua wanita itu tidak menyukainya.
Itu ujian rumah tangga dihadapi seorang wanita diceritakan menerusi mesej peribadi dihantar kepada peguam syarie, Suriati Ghani yang dikongsikan pada Facebook.
“Puan, kalau saya nak teruskan pernikahan ini, tapi suami tak nak, macam mana ya? Jujur saya sayangkan perkahwinan ini, tapi sebab campur tangan ibu bapa saya buatkan suami saya hendak berpisah.
“Kami baru saja bernikah lapan bulan, tinggal di rumah mentua. Mentua baik sangat, tapi sebab ibu saya masuk campur urusan rumah tangga, keluarga mentua jadi tidak suka saya,” luahnya menerusi aduan tersebut.
Dalam pada itu, Suriati mengingatkan tindakan ibu bapa atau mentua masuk campur dalam urusan rumah tangga menyebabkan anak-akan makan hati.
“Ada yang sudah lama nikah, ibu mentua baru suarakan yang dia bukan menantu pilihan. Biarkan anak ada hubungan dengan wanita lain depan mata.
“Ada yang segala cerita dalam kain pun diceritakan pada ibu, tak puas bila bersama isteri. Ada yang ibu bapa beria sangat suruh ambil cucu yang masih menyusu badan bawa balik rumah bermalam berhari-hari.
“Padahal anaknya tidak jaga pun bayi itu, tinggalkan kepada ibunya. Itu antara kisah benar diceritakan kepada saya dalam sesi konsultasi. Banyak lagi kisah rumah tangga yang ibu bapa masuk campur,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan mungkin ibu bapa juga perlu dipanggil untuk kaunseling supaya faham peranan masing-masing. – KOSMO! ONLINE