PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
“Dengan kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.
“PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam sidang media sulung semalam, Anwar mengajak PN mendukung kerajaan selepas mengangkat sumpah memegang jawatan. -KOSMO! ONLINE.