DOHA – Kejutan yang dilakar Arab Saudi ke atas Argentina menjadi sumber inspirasi buat Jepun ketika menghadirkan sensasi merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Jerman pada aksi pertama Kumpulan E di Stadium Ahmad Bin Ali kelmarin.
Semua pemain Samurai Biru mengakui kejayaan Arab Saudi menghadirkan kekecewaan buat Lionel Messi dan Argentina adalah sesuatu yang luar biasa dan merasakan semangat juang sama wajar ditiru oleh Jepun.
Pemain sayap, Kaoru Mitoma menyifatkan kejayaan menewaskan juara dunia 2014 itu sebagai detik paling hebat dalam hidupnya dan ia sesuatu yang sukar untuk dipercayai oleh semua orang.
“Kami menonton Arab Saudi menentang Argentina. Mereka memenangi perlawanan itu dan kami fikir kami juga mampu mengharungi perlawanan yang hebat dan jelas ia beri inspirasi kepada Jepun.
“Detik ini nyata sesuatu yang sukar untuk dipercayai oleh semua orang dalam pasukan dan saya sendiri,” katanya.
Pada perlawanan itu, Jerman terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ilkay Gundogan, namun Jepun mempamerkan kebangkitan untuk memperoleh dua gol dalam tempoh 15 minit terakhir menerusi Ritsu Doan dan Takuma Asano.
Bintang Real Sociedad, Takefua Kubo juga mengakui bahawa kejayaan Arab Saudi mengubah minda dan persepsi para pemain terhadap perlawanan yang mereka perlu hadapi.
“Ketika kami menjalani latihan, kami ada menyaksikan perlawanan itu dan kemenangan Arab Saudi memberikan inspirasi kepada kami untuk melakukan perkara sama,” ujarya. – AGENSI