AL KHOR – Kapten Croatia, Luka Modric tetap yakin dengan peluang mereka pada Piala Dunia 2022 meskipun sekadar seri tanpa jaringan menentang Maghribi di Stadium Al Bayt kelmarin.
Keputusan itu sememangnya satu kejutan memandangkan Croatia mengharungi kempen kali ini dengan status selaku naib juara edisi Piala Dunia 2018 di Russia.
Bagaimanapun, Modric, 37, percaya mereka akan bangkit menunjukkan prestasi sebenar dalam dua baki aksi Kumpulan F menentang Kanada (28 November) dan Belgium pada 1 Disember ini.
“Croatia akan menjadi lebih baik apabila menghadapi perlawanan kedua. Kami tidak datang ke sini hanya sekadar untuk melengkapkan penyertaan.
“Impian kami cukup tinggi, tetapi kami mengambilnya satu demi satu perlawanan. Jangan salah faham kerana objektif kami lebih besar daripada hanya melepasi peringkat kumpulan,” katanya.
Perancang tengah Real Madrid itu muncul pemain paling tua Croatia pada usia 37 tahun 75 hari membuat penampilan di pentas Piala Dunia.
Modric juga mencipta nama selaku pemain pertama yang beraksi dalam kedua-dua saingan Kejohanan Euro dan Piala Dunia sepanjang tiga dekad.
Begitupun, bekas pemenang Ballon d’Or 2018 itu masih belum berpuas hati dengan rekod individu tersebut selagi tidak berjaya memastikan Croatia menjulang gelaran Piala Dunia. – AGENSI