AL RAYYAN – Ketua Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mengakui tetap gembira dengan persembahan pasukannya itu biarpun sekadar meraih kemenangan 1-0 menewaskan Kanada pada aksi Kumpulan G awal pagi semalam.
Sekali pun menerima kritikan hebat kerana ia dianggap persembahan terburuk Belgium sejak beliau membimbing pasukan itu kira-kira enam tahun lalu, Martinez percaya bahawa kemenangan adalah lebih penting berbanding gaya permainan menarik.
“Kalau ada yang menganggap ia adalah persembahan teknikal yang teruk, ya saya mengakui, tetapi ia bukanlah aksi paling buruk kerana kami memenangi perlawanan di Piala Dunia.
“Kami perlu melihat dari pelbagai sudut dan saya gembira kami mampu bertahan dengan baik. Kami juga berjaya menyempurnakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol berkenaan.
“Rasa hormat dan penghargaan perlu diberikan kepada Kanada. Kami tidak melakukannya dengan baik, sebaliknya mereka telah memberikan persembahan luar biasa, namun kami masih layak untuk menang,” kata Martinez.
Sementara itu, pemain tengah, Kevin De Bruyne juga mendedahkan bahawa dia tidak berpuas hati dengan aksi yang diberikan, namun anugerah pemain terbaik perlawanan menjadi pengubat kepada kekecewaan itu.
“Saya tidak fikir saya telah bermain dengan baik, saya tidak tahu mengapa mereka memberikan trofi ini kepada saya, mungkin kerana nama saya.
“Kami bermula dengan agak buruk, kami tidak berjaya mengekang momentum Kanada. Kami tidak membina permainan dengan baik sehingga memberikan banyak ruang untuk mereka bergerak,” jelasnya.
Belgium meraih gol tunggal perlawanan menerusi Michy Batshuayi yang meledak gol pada penghujung babak pertama selain penjaga gol, Thibaut Courtois turut muncul wira menyelamatkan sepakan penalti Alphonso Davies. – AGENSI