fbpx

Perdana Menteri digesa tarik balik ratifikasi perjanjian CPTPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (tengah) menunjukkan memorandum memohon kerajaan menangguhkan penyertaan ratifikasi CPTPP yang diumumkan oleh Azmin Ali, sebelum ini di pekarangan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak untuk menarik balik ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebelum Selasa ini.

Desakan itu dibuat oleh 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu selepas mendapati perjanjian ratifikasi itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Felo Kanan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Azlan Awang yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata, ratifikasi itu akan mula berkuatkuasa pada 29 November ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kandungan perjanjian ratifikasi CPTPP itu lebih kompleks dan umpama ‘jerangkap’ kepada ekonomi negara.

“Buat masa ini, Malaysia sudah ada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan tujuh negara serta lapan FTA menerusi Asean dan ia sudah mencukupi bagi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“FTA sedia ada juga sudah dapat membantu negara mencapai prestasi eksport lebih baik biarpun tanpa CPTPP,” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya difahamkan, perjanjian itu turut menyentuh perolehan kerajaan, menyekat peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menghadkan peluang GLC untuk bersaing dengan syarikat multinasional.

Dalam pada itu, Azlan berkata, beliau berpendapat, ratifikasi itu bakal menyukarkan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan polisi dan manifesto pro-rakyat jika ia tetap diteruskan.

Justeru katanya, pihaknya mahu kerajaan pimpinan Anwar menangguhkan penyertaan CPTPP buat masa ini dengan menarik balik notis meratifikasi CPTPP sebelum 30 November ini.

“Kami juga mahu kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh ahli akademik dan pakar ekonomi tempatan untuk mengkaji semula penyertaan Malaysia dalam CPTPP.

“Selepas kajian dibuat, jawatankuasa itu bentangkan hasil kajian di Dewan Rakyat supaya ia dapat dibahas secara mendalam sebelum sebarang keputusan lanjut diambil,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak menghantar surat ratifikasi penyertaan Malaysia sepenuhnya dalam perjanjian CPTPP.

Surat penyertaan itu dihantar empat hari sebelum Parlimen dibubarkan awal Oktober lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI