PETALING JAYA – Rakan seperjuangan pelakon Nad Zainal, Sharifah Amani terus memanjatkan doa agar sahabatnya itu yang kini bertarung nyawa disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru diberi kesembuhan.
Amani atau nama sebenarnya, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya menitipkan kata-kata perangsang supaya Nad lekas sedarkan diri untuk melihat realiti pertukaran kerajaan di negara ini.
“Nanad (panggilan Nad), kita dah ada Perdana Menteri (PM). Wake up soon (tolong sedarkan diri),” ciap pelakon filem Sepet itu menerusi Twitter.
Terdahulu, Amani, 36, meminta orang ramai terus mendoakan yang baik-baik buat Nad agar dia kuat berdepan ujian yang sedang dihadapinya sekarang.
“Kita doakan kesembuhan buat Nad Zainal atau Farah Nadia Zainal Abidin.
“Anda kuat Nanad. Semoga dipermudahkan segalanya. Insya-Allah,” coretnya.
Sementara itu, bekas suami Nad iaitu Muhammad Faliq Amiruddin ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi memaklumkan, dia masih belum diberitahu tentang kondisi terbaharu mantan isterinya itu.
“Maaf, saya belum diberitahu apa-apa yang terbaharu tentang keadaan atau kondisi terkini Nad Zainal.
“Kalau nak tahu selanjutnya, mungkin boleh telefon atau hubungi Ungku Ismail,” katanya ringkas.
Sehingga semalam, media melaporkan Nad, 32, masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Pakar Ampang Puteri namun mula menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun, ibu Nad melalui mesej yang dikongsikan kepada Sherry Alhadad berkata, doktor akan merawat buah pinggang pelakon itu kerana sedikit terjejas akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru. – KOSMO! ONLINE