fbpx

JKM bersedia pada tahap optimum hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaharuddin beramah mesra dengan mangsa banjir dan melawat salah satu daripada PPS di Dengkil baru-baru ini. – Foto Ihsan

PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana memandangkan negara kerap berdepan beberapa fenomena seperti banjir kilat dan banjir besar ekoran peningkatan taburan hujan ketika ini.

Susulan itu, Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya dan pelbagai agensi terlibat dalam pengurusan bencana terus bersiap sedia dalam usaha mengurangkan risiko menerusi pelbagai pendekatan yang telah dirancang.

“Dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana, JKM bersiap siaga pada tahap optimum yang mana segala persiapan daripada segi logistik, bekalan keperluan dan pusat pemindahan sementara telah berada di tahap maksimum.

“Bagi tahun 2022, sebanyak RM32.04 juta telah diperuntukkan sebagai persiapan menghadapi bencana dengan peruntukan daripada Persekutuan adalah sebanyak RM9.16 juta, manakala RM22.88 juta daripada peruntukan negeri. Peruntukan terbabit digunakan untuk pembelian barangan keperluan bencana, makanan dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Shaharuddin berkata, pengalaman mereka menguruskan bencana termasuk banjir, tanah runtuh, kebakaran dan wabak penyakit sebelum ini disifatkan sebagai kekuatan kepada jabatan itu untuk menguruskan risiko terbabit pada masa depan.

JKM sentiasa membuat penambahbaikan bagi memastikan segala kemudahan PPS lengkap dan selamat untuk membantu mangsa.

“Sejak Januari 2022, JKM telah mengendalikan pelbagai bencana meliputi pembukaan 933 pusat pemindahan sementara selain menyantuni hampir 98,000 mangsa seluruh negara.

“Kesiapsiagaan kakitangan JKM juga berada pada tahap tertinggi memandangkan bencana masa kini boleh tiba pada bila-bila masa ditambah pula dengan keadaan cuaca yang semakin tidak menentu kebelakangan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), JKM mempunyai empat peranan utama dalam mendepani aspek pengurusan bencana banjir antaranya menyedia dan menyelenggara pusat pemindahan sementara mangsa- mangsa terlibat.

Dalam konteks ini, pusat pemindahan sementara (PPS) ditakrifkan sebagai bangunan atau kawasan yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan boleh digunakan untuk menempatkan mangsa-mangsa bencana.

Selain itu, bangunan yang boleh digunakan terdiri daripada sekolah, masjid, dewan orang ramai atau mana-mana premis yang difikirkan sesuai, mesra kepada Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan mangsa berkeperluan khas.

“Bangunan terlibat juga perlu dilengkapi kemudahan asas seperti ruangan selesa, bekalan air bersih, bekalan elektrik, tandas dan sentiasa selamat digunakan.

“Bilangan PPS yang didaftarkan bagi menghadapi bencana seluruh negara pula sebanyak 7,707 dan mampu menampung 1.95 juta orang pada satu-satu masa,” katanya.

Katanya, pengoperasian PPS akan diketuai pegawai JKM yang boleh menguruskan lebih daripada satu pusat pemindahan, manakala penyelia akan dilantik dalam kalangan ketua jabatan, ketua agensi, ketua komuniti, guru besar dan mereka berkelayakan.

“Peranan kedua pula adalah menyedia dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian serta lain-lain keperluan asas kepada mangsa.

“Menariknya, JKM turut membuat penambahbaikan dengan memperkenalkan makanan retort kepada mangsa dalam tempoh 24 jam pertama. Kaedah itu digunakan untuk mengatasi masalah kelewatan bekalan makanan dan ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri untuk pelaksanaannya,” jelas beliau.

Menurut Shaharuddin, JKM juga berperanan menjalankan pendaftaran mangsa bagi tujuan bantuan pemulihan susulan yang akan dikendalikan oleh agensi berkaitan.

Shaharuddin meninjau Depoh Simpanan Keperluan Bencana (KSKB) di Sabah. – Foto Ihsan

“Mereka akan dibekalkan borang pendaftaran mangsa dan Ketua Isi Rumah (KIR) dan perlu dikemas kini serta disenaraikan dalam satu senarai sahaja.

“Senarai itu seterusnya akan digunakan oleh agensi berkaitan untuk bantuan pemulihan bantuan wang ehsan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bantuan membaiki rumah atau yang difikirkan sesuai serta tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP),” katanya.

Peranan JKM seterusnya pula adalah memberi bimbingan nasihat dan kaunseling yang mana kaunselor terlibat bertanggungjawab melaksanakan khidmat intervensi krisis dan sokongan psikologikal kepada mangsa melalui aktiviti di pusat pemindahan.

“Sekiranya mangsa masih belum pulih sepenuhnya, intervensi itu akan diteruskan walaupun mangsa telah pulang ke kediaman masing-masing.

“Perkhidmatan berkenaan bertujuan memberi sokongan dan bantuan dalam mewujudkan perubahan positif kepada diri mangsa secara keseluruhan agar kembali semula ke tahap kefungsian seperti sedia kala,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shaharuddin menjelaskan, JKM telah mengenal pasti beberapa perancangan baharu termasuk memperkasa komuniti sebagai persiapan menghadapi bencana menerusi program simulasi dan kerjasama strategik.

Tambah beliau, kepesatan teknologi maklumat turut menuntut jabatan bersedia melakukan perubahan terhadap pengurusan dan pengoperasian bencana.

“Oleh itu, sistem InfoBencana kendalian JKM telah melakukan beberapa transformasi agar kakitangan di lapangan dapat melakukan tugasan dengan cepat dan efisien.

“Pengenalan pendaftaran mangsa secara cepat dapat memastikan maklumat dapat diselaras dengan baik, malah orang awam juga dapat mengakses maklumat untuk persediaan menghadapi bencana.

“Saya ingin merakamkan se­tinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas JKM yang sentiasa komited dan bersiap siaga mengharungi apa juga cabaran serta rintangan dalam pengurusan bencana,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI