MUAR – Seorang warga emas dilaporkan hilang sejak petang semalam ketika mendaki secara berkumpulan di Bukit Durian, Batu 10, Pagoh, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Goh Sang Seng, 56, hilang semasa menuruni bukit itu secara berseorangan.
“Pada hari kejadian, mangsa dilaporkan mendaki secara berkumpulan bersama lebih kurang 20 orang lagi rakannya.
“Bagaimanapun ketika menghampiri puncak bukit, mangsa tidak mahu meneruskan pendakian dan berpatah balik ke tempat letak kenderaan.
“Oleh kerana kumpulan mereka sudah biasa dengan kawasan bukit di situ, maka rakan-rakannya tidak menghalang mangsa untuk turun dahulu secara berseorangan,” katanya ketika dihubungi.
Mohd. Fadli berkata, bagaimanapun setibanya di tempat letak kenderaan, kelibat lelaki itu tidak kelihatan menyebabkan kesemua rakannya berpakat untuk mencari semula mangsa di kawasan sekitar.
“Meskipun mencari semula di laluan trek, mangsa gagal ditemui dan rakannya terpaksa menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan, seramai 11 anggota dari BBP Pagoh termasuk pihak polis melakukan aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) sehingga ke tengah malam tadi,” katanya.
Menurutnya, mangsa masih gagal ditemui dan oeprasi SAR bersambung hari ini. – KOSMO! ONLINE