KUALA LUMPUR – Jerih perih dan sumbangan seniwati, Fauziah Nawi kepada industri hiburan tanah air sepanjang kariernya sehingga kini, terbalas menerusi penyerahan hadiah kenderaan Mitsubishi Xpander oleh Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).
Hadiah tersebut diserahkan kepada pelakon veteran itu selepas Fauziah atau mesra dipanggil ibu, dinobatkan Tokoh Seri Angkasa pada Anugerah Seri Angkasa 2022 pada 30 Oktober lalu di Putrajaya.
Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya melalui anak syarikat iaitu EON berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada Anugerah Seri Angkasa 2022 dan diberi peluang menyokong bakat tempatan Malaysia.
“Ketika berada di pentas majlis anugerah, ibu (Fauziah) menceritakan keadaan keretanya sebelum ini, membuatkan kami berasa bersyukur dan berbesar hati dapat menghadiahkan Xpander.
“Sebenarnya DRB-HICOM tidak tahu siapa yang akan menerima hadiah tersebut. Cuma kami diberitahu ia hadiah untuk tokoh. Apabila berada pada majlis itu, baru saya faham selepas ibu bercerita di atas pentas dengan sebak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Mitsubishi Xpander oleh EON kepada Fauziah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mahmood berkata, pihaknya berbesar hati dapat memainkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat lain tampil membantu mereka yang menyumbang kepada industri hiburan tanah air.
Sementara itu, Fauziah bersyukur menerima hadiah kereta tersebut dan ia akan digunakan sebaik-baiknya dalam urusan kehidupan harian.
“Saya sudah bertahun-tahun tidak memandu, tetapi masih ‘menghidupkan’ lesen memandu. Lesen saya ‘hidup’ sampai tahun 2024.
“Sebelum ini saya pernah cuba cabutan bertuah untuk mendapatkan kereta, tetapi tidak berjaya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ini rezeki untuk saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE