PETALING JAYA – Tindakan ahli jawatankuasa surau Hidayatul Mustaqim, Selayang Baru yang menawarkan hadiah sebuah basikal kepada kanak-kanak yang hadir solat subuh selama tiga bulan berturut-turut meraih pujian orang ramai.
Perkongsian video melalui akaun TikTok @zaidyabdultalib memaparkan sekumpulan kanak-kanak yang kelihatan bersemangat hadir ke surau tersebut untuk solat subuh secara berjemaah disamping ingin berpeluang untuk mendapat hadiah basikal itu.
Video tersebut telah tular dan majoriti besar orang ramai menyifatkan tindakan itu adalah satu usaha yang bagus untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja supaya rajin untuk mengimarahkan surau atau masjid.
“Syabas, satu idea dan inisiatif yang bagus dan berkesan untuk galakkan remaja dekati rumah Allah,” komen seorang pengguna TikTok.
“Mula-mula datang bersebab tapi kalau sudah 40 hari tidak tinggal, insha Allah lepas 3 bulan mereka akan kekal solat berjemaah walaupun tiada hadiah,” komen pengguna TikTok yang lainnya.
“Terbaik AJK surau!, pada awalnya budak-budak akan pergi kerana mahukan basikal tetapi lama-kelamaan ianya akan menjadi kebiasaan dan budak-budak ini akan terbiasa untuk solat secara berjemaah,” komen seorang pengguna TikTok.
Sementara itu, terdapat juga orang ramai yang khususnya golongan ibu bapa berharap agar inisiatif seperti ini dilaksanakan berterusan di semua surau agar lebih ramai kanak-kanak dan remaja bersemangat untuk ke rumah Allah.
“Bagus dilakukan oleh semua surau, surau perlu dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak juga, bukan golongan senja semata kerana melalui ini ianya boleh memupuk kerohanian anak-anak,” tulis pengguna TikTok itu.
“Saya berharap agar ada wakil rakyat yang melihat video ini dan jadikan satu rujukan untuk dinormalisasikan buat semua surau dan masjid,” tulis pengguna yang lainnya.
Setakat ini, perkongsian video yang tular itu telah meraih lebih 200,00 tontonan, 15,000 tanda suka dengan 208 perkongsian dan dihujani dengan pelbagai komen positif daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE