KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran heroin yang mampu digunakan oleh 80,000 penagih susulan penahanan seorang suspek dalam serbuan berhampiran sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh, Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek yang merupakan pembekal diserbu ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Honda CRV bersama tiga kotak yang berisi 90 bungkusan heroin seberat 41 Kilogram.
Katanya, tangkapan dibuat ke atas lelaki tempatan berusia 34 tahun itu yang menjadikan penjualan dadah sebagai pendapatan utamanya namun ujian air kencing terhadapnya adalah negatif.
“Tangkapan adalah menerusi Ops Snowshoe membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman.
“Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM550,000 dan suspek dikesan bergerak aktif sejak tiga bulan lepas di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmi, modus operandi yang dijalankan adalah pembekal akan meletakkan bekalan dadah di dalam kereta tanpa dikunci untuk diambil oleh pembeli.
Katanya, arahan daripada pembekal diberi melalui telefon tanpa berjumpa secara bersemuka. Bayaran oleh pembeli dibuat secara bank in setelah bekalan selamat diterima.
“Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam yang telah disalurkan kepada JSJN IPK KL dan pihak kami masih menyiasat untuk mendapatkan saki baki ahli sindiket yang masih bebas.
“Suspek telah direman tujuh hari bermula Rabu hingga Ahad ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE