PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangguhkan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun ini bagi subjek Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah) sempena cuti peristiwa pada 28 November (Isnin) depan.
Jakim menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan ujian berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin itu sekali lagi ditunda pada 5 Disember depan dengan tempoh mengambil ujian satu jam tiga puluh minit bermula pukul 2.15 petang.
“Jakim amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan serta menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK pada tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Jakim memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan UPKK yang sepatutnya berlangsung pada 14 hingga 17 November bagi memberi ruang persediaan serta pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tarikh pelaksanaan UPKK (Bertulis) itu dijadualkan semula pada 28 November bagi subjek Ulum Syariah, Sirah Jawi Dan Khat (29 November), Adab (30 November) dan Lughah al-Quran (1 Disember). – KOSMO! ONLINE