BERAT badan naik mendadak selepas melahirkan anak sulung selain menjadi bahan percakapan orang menjadi titik tolak kepada perniagaan kecil-kecilan wanita kelahiran Kelantan ini.
Perkara tersebut berlaku sekitar empat tahun lalu yang mana bermula daripada episod ‘hitam’ itu, Noor Faqirah Abdullah nekad untuk menurunkan semula berat badannya kepada bentuk ideal.
Katanya, tanpa berfikir panjang, dia yang memang minat dan tidak malu berniaga sejak kecil memberanikan diri untuk mengeluarkan sebuah produk sendiri berasaskan herba.
Berbekalkan wang simpanan dan duit raya anak sulung, dia menggunakan kesemuanya sebagai modal permulaan untuk produk sulung keluarannya, Herba Kurus Tradisi.
“Bermodalkan duit raya anak serta duit simpanan sendiri, saya tekad keluarkan produk pertama keluaran sendiri.
“Saya jual dan saya cuba serta makan sendiri produk tersebut dan berjaya turunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam masa beberapa bulan.
“Sejak dari dan sejak itu, ramai kenalan terdekat mula perasan dan bertanya apa produk yang saya makan dan amalkan hingga dapat bentuk badan ideal walaupun sudah bergelar ibu.
Tambah Noor Faqirah atau lebih mesra disapa Qayra, semasa menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga anak, banyak juga mulut-mulut jahat yang mengatakannya hanya duduk makan dan mengharapkan duit suami tanpa berbuat apa-apa.
“Selepas berkahwin, ada yang perli kata saya nu hanya gunakan duit suami dan harapkan 100 peratus kepada suami tanpa berbuat apa-apa/
“Jadi perlian dan kata-kata nista itu juga menjadi titik tolak kepada saya untuk membantu suami dengan menjalankan perniagaan sendiri walau pada awalnya hanya dari rumah,” ujarnya.
Bercerita mengenai cabaran dan asam garam yang dilalui dalam berbisnes, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui, pasti ada rintangan serta halangan dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan terutama perniagaan.
“Jatuh bangun dalam bisnes adalah perkara yang pasti akan berlaku untuk mana-mana peniaga. Jadi tipulah kalau saya taj pernah laluinya. Saya pernah ditipu pembekal sehingga RM50,000.
“Masa tu, produk tengah mendapat nama dan kebetulan dalam musim pandemik. Jadi kilang kekurangan bahan mentah untuk proses stok dan saya terpaksa dapatkan daripada pembekal lain yang tidak dikenali.
“Seperti mana produk lain yang popular di pasaran, produk saya juga tidak terkecuali dibuat tiruan. Mereka keluarkan produk dengan logo, jenama dan rekaan yang sama dengan produk keluaran Qayra Beauty,” katanya.
Ditanya mengenai siapa sumber inspirasi, Noor Faqirah memberitahu, ayahnya merupakan orang penting yang secara tidak langsung memperkenalkan formula herba bagi produknya.
Bercakap mengenai perancangan, dia yang juga merupakan pengasas berkata, syarikat optimis untuk menambah bilangan ejen sedia ada daripada 6,000 kepada 20,000 orang pada tahun hadapan.
Pada masa sama, syarikat juga baharu mengeluarkan produk kesembilan yang dirumus khas buat kaum lelaki, QB For Men iaitu UK Gel dan UK Coffee. – KOSMO! ONLINE