fbpx

Banteras pikap Siam ‘kutip’ minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRAK pikap dari negara jiran beratur untuk mengisi diesel di Kangar baru-baru ini.

KANGAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memperhebatkan kawalan bagi mengekang aktiviti ‘kutipan’ bahan bakar bersubsidi oleh pikap Siam di seluruh Perlis.

Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri, Norazah Jaapar berkata, pihak penguat kuasa sentiasa memandang serius dan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap aktiviti tersebut.

Kata Norazah, pihaknya menyita enam buah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand sejak 1 Januari lalu hingga kelmarin.

“Enam kenderaan itu melibatkan lima kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 melibatkan komoditi minyak petrol, diesel serta minyak masak.

“Selain tindakan perunda­ngan, kita turut membuat rondaan di sekitar stesen minyak dalam radius 50 kilometer (km) dari pintu sempadan bagi mengekang kenderaan Thailand mengutip minyak bersubsidi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, kenderaan berpendaftaran Thailand diperiksa dan diberi notis larangan dan kawalan pembelian petrol dan diesel di stesen minyak.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, aktiviti pikap Siam semakin aktif mengumpul minyak dari satu stesen ke stesen lain bagi mendapat bekalan bahan bakar bersubsidi itu sebelum pulang ke Thailand.

Untuk rekod, terdapat 38 ste­sen minyak berada dalam 50 km radius dari sempadan negara di seluruh negeri Perlis.

Menurut Norazah, pihaknya mengambil perhatian atas situasi semasa itu dan sedang meneliti peraturan bersesuaian.

“Peraturan baharu yang sedang dirangka ini dijangka dapat meminimumkan kegiatan yang menyalahi undang-undang sedia ada dan pada masa sama, dapat memastikan sasaran subsidi sampai kepada rakyat.

“Ia melibatkan banyak aspek teknikal yang sedang diperhalusi untuk memastikan tiada loopholes (kelemahan) semasa pelaksanaan di masa depan,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran dihadapi, beliau memaklumkan, bilangan anggota penguat kuasa terhad adalah antara rintangan terbesar.

“Kami sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang penyaluran maklumat berkaitan penyelewengan bahan bersubsidi termasuk isu kenderaan dari Thailand oleh orang ramai.

“Kami memohon kerjasama masyarakat setempat menyalurkan aduan secara rasmi melalui platform disediakan, bukannya menerusi media sosial. Ini kerana, ia menyukarkan tindakan lanjut disebabkan banyak verifikasi perlu dilakukan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Norazah memberi jaminan setiap aduan disalurkan, maklumat pengadu akan dirahsiakan.

Katanya, selain menerusi pemeriksaan dan risikan, aduan yang diterima berhubung ken­deraan Thailand ini membo­lehkan ia disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Ha­sil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI