fbpx

Banjir: Lelaki lumpuh antara 78 mangsa di Bestari Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM Kuala Selangor membantu Khalijah menguruskan Mohd. Radzuan di PPS Dewan MPKS Bestari Jaya, Bestari Jaya, Kuala Selangor,

KUALA SELANGOR – Seorang lelaki lumpuh akibat kemalangan antara 78 mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Bestari Jaya di sini, sejak lima hari lalu.

Kesemua mangsa terdiri daripada 25 keluarga itu kini berteduh di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Bestari Jaya.

Seorang mangsa banjir, Khalijah Kamaruddin, 66, berkata dia bersama anaknya, Mohd. Radzuan Zamanhari, 34, terpaksa berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Kuantan di sini, Isnin lalu.

“Pada awalnya, saya sukar berpindah ke PPS kerana anak (Mohd. Radzuan) lumpuh separuh badan akibat kemalangan di tempat kerja dua bulan lalu.

“Namun, paras air semakin meningkat sehingga ke betis dan terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di PPS itu hari ini.

Menurutnya, banjir kali ini dianggap terburuk dan masih tidak surut sepenuhnya kerana faktor cuaca.

“Saya amat berharap kami dapat segera pulang ke rumah untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Terima kasih kepada pihak berkuasa seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu menyelamatkan mangsa banjir sebelum ini,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa banjir mahu dikenali sebagai Nazeem, 38, dia sekeluarga akan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa untuk kekal di PPS tersebut.

“Tiada gunanya pulang ke rumah jika banjir kembali berulang sekali gus membahayakan keselamatan mangsa.

“Cuaca terutama hujan lebat juga masih tidak menentu dan kami akan menunggu paras air surut sepenuhnya,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI