KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membatalkan saman difailkan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan secara salah yang mendakwanya dalam beberapa kes jenayah termasuk penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Tommy apabila mendapati saman yang difailkan Najib tidak boleh dipertahankan berikutan ia adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Dalam penghakimannya hakim itu berkata, Tommy ketika itu adalah peguam negara kerajaan dan bukannya peguam negara politik yang menjalankan kuasanya dengan bebas berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan beliau mempunyai kuasa budi bicara yang luas untuk menjalankan pendakwaan.
“Tindakan undang-undang yang mencabar kuasa peguam negara juga tidak boleh dibicarakan di mahkamah dan peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman,” kata hakim itu ketika menyampaikan keputusan itu secara dalam talian hari ini.
Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober tahun lalu bagi menuntut ganti rugi RM1.9 juta kerana mendakwa Tommy dan kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan pendakwaan terhadapnya dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1MDB.
Bagaimanapun Tommy dan kerajaan melalui notis yang difailkan pada 18 November tahun lalu, memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan dengan alasan sekiranya saman itu diteruskan dan didengar ia akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi akan tergendala.
Kedua-dua defendan itu berkata, saman berkenaan juga adalah tindakan serangan sampingan oleh Najib bagi menghalang pendakwaan jenayah terhadapnya.
Bagaimanapun pada 8 September lalu, Najib menarik balik saman berkenaan terhadap kerajaan.
Meskipun Najib menarik balik saman itu terhadap kerajaan, tuntutan saman sama yang difailkan terhadap Tommy kerana menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya secara salah masih lagi diteruskan.
Justeru dengan perkembangan terbaharu itu, Tommy kini adalah defendan tunggal dalam kes saman berkenaan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan saman itu, Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang sudah dirancang lebih awal oleh Thomas selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Menurut Najib, pada tahun 2015, Tommy berjumpa Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadapnya (Najib) berhubung pembabitan dalam syarikat pelaburan negara itu. – KOSMO! ONLINE