PETALING JAYA – Pengumuman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10) hari ini mengujakan rakyat.
Keputusan tersebut sekali gus menamatkan penantian negara yang menunggu pemilihan PM10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Sejurus pengumuman, media sosial dibanjiri ucapan tahniah buat Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun termasuk daripada kalangan selebriti tempatan.
Rata-rata selebriti teruja dengan keputusan tersebut dan berharap agar Anwar, 75, mampu membawa Malaysia ke arah jauh lebih baik serta memulihkan ekonomi negara.
“Semoga dapat mentadbir negaraku ke arah perubahan yang lebih baik. Pembaharuan yang memberi manfaat kepada rakyat dan dapat membawa kesejahteraan serta keharmonian kepada kita semua.
“Besar tanggungjawab apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang meruncing pasca pandemik,” kata pelakon dan pengacara Uyaina Arshad.
Sementara menurut cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob, jika arwah bapanya, Datuk Yaakob Mohammad masih ada, pasti hari ini menjadi momen paling menggembirakannya.
“Akhirnya! Alhamdulillah, tahniah. Perjuangan, usaha dan doa-doa yang akhirnya termakbul.
“Arwah bapa bertugas bawah beberapa Perdana Menteri selaku setiausaha kerja UMNO dan Barisan Nasional pada ketika itu,” tulisnya sambil memuat naik gambar lama arwah Yaakob bersama Anwar dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pelakon Ben Amir juga tidak ketinggalan berkongsi keterujaan dengan memuat naik gambar lamanya memakai baju tertera wajah Anwar.
“Negara berbilang bangsa dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Our PM (Perdana Menteri kita),” tulisnya ringkas.
Dalam pada itu, dramatis Sweet Qismina berharap agar keputusan tentang PM10 diterima dan dihormati semua pihak dengan bijak.
Kata pelakon drama Bidadari Salju itu, jika mahukan perubahan dan mengubah sesuatu, mulakan membaca, buat kajian dan persediaan dari sekarang dan menunggu lima tahun lagi untuk mengundi.
“Anak-anak muda, kita negara demokrasi. Keputusan telah dibuat. Hormatilah dengan bijak. Bukan mengutuk atau bergaduh sesama sendiri. Jangan gunakan media sosial untuk memburukkan negara kita.
“Awak semua melambangkan negara Malaysia.
Kalian bertuah dapat mengundi bermula umur 18 tahun secara automatik dan ada media sosial untuk melihat semuanya. Tapi jangan silap guna,” katanya.
Beberapa selebriti lain turut meluahkan rasa syukur dengan keputusan pemilihan PM10 antaranya Diana Danielle, Zizi Kirana dan Daiyan Trisha. – KOSMO! ONLINE